Usul Pembangkang Ditolak… Istilah Perompak, Perogol, Komunis Gamatkan Dewan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Dewan Parlimen hari ini kecoh apabila blok pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker yang menolak usul pembangkang untuk merujuk Ahli Parlimen Bagan yang juga merupakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kenyataannya sebelum ini berhubung dana pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) .

Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dilihat berat sebelah dan tidak adil dan ekoran itu blok pembangkang keluar Dewan bagi membantah keputusan tersebut.

Blok pembangkang membuat usul itu berikutan ungkapan ‘merompak’ yang pernah dibuat Guan Eng tahun lalu kepada pentadbiran BN berhubung kutipan hasil GST.

Sebelum itu di dalam Dewan, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Marican mempersoalkan alasan Mohamad Ariff menolak usul tersebut dengan alasan tiada kes prima facie sedangkan ia amat jelas menurut mereka Guan Eng telah berbohong di dalam Dewan apabila mengatakan wang GST telah dirompak oleh kerajaan terdahulu.

“Isunya tuduhan merompak dan mencuri. Tuduhan ini adalah perbuatan jenayah yang jelas dan tuduhan ini tidak benar kerana bila kes ini di bawa ke PAC dan keputusan PAC mengatakan tidak ada pun kehilangan wang tersebut… maka jelas mengikut keputusan yang dibuat PAC, tuduhan tersebut salah dan wang masih berada dalam akaun. Kesalahannya mungkin dari sistem peraukanan dan presedur… bukan rompak atau curi…,” tegas Ismail.

Menyokong kenyataan tersebut, ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan turut menunjukkan laporan PAC muka surat 50, perenggan keempat baris pertama yang secara terang-terangan menyebut tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

Dek kerana Speaker menegaskan bahawa keputusannya muktamad maka Ahli Parlimen Kuala Kurau Datuk Ismail Mohamed Said bangun membentangkan peraturan Dewan 36 (4).

“Adakah selepas ini Speaker membenarkan perkataan perompak dibenarkan di dalam Dewan? Jika tidak, Speaker harus membuat ruling,” tegas beliau.

Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan istilah rompak, perogol dan komunis yang akhirnya mengundang Speaker membuat ruling bahawa perkataan perompak, komunis dan sebagainya tidak boleh digunakan di dalam Dewan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.