UMNO Berterima Kasih, Pendaftaran Automatik Sebagai Pemilih Merakyatkan Proses Demokrasi

KUALA LUMPUR, 17 Julai – UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada semua 211 ahli parlimen, tanpa mengira parti yang telah mengundi menyokong pindaan Perlembagaan bagi membolehkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas automatik didaftar sebagai pengundi serta layak diundi menjadi calon dalam pilihan raya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri sewaktu pembentangan Rang Undang-undang (bacaan kedua), syor ini adalah syor blok Pembangkang khasnya Barisan Nasional (BN), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ia adalah syarat bagi membolehkan Blok Pembangkang menyokong usul pindaan Perlembagaan menurunkan had umur mengundi yang sememangnya dipersetujui semua pihak.

“Menurunkan had umur, memberi ruang kepada 500,000 pengundi baru setiap tahun, manakala pendaftaran automatik memberi hak kepada lebih empat juta pengundi yang sungguhpun layak dari segi umur tetapi tidak terdaftar sebagai pengundi,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, pembangkang bukan sekadar melihat dari sudut mengiktiraf peranan generasi muda, tetapi melihat dari sudut hak rakyat secara keseluruhannya dalam usaha merakyatkan proses demokrasi dalam negara kita.

“Kelayakan umur tidak semestinya melayakkan seseorang menjadi pengundi kerana sejak 1959 mereka perlu mendaftar dan memohon untuk menjadi seorang pengundi.”

Namun katanya, dengan pindaan yang disyorkan oleh blok pembangkang ini semua rakyat automatik mendapat hak ini apabila usia mereka mencecah 18 tahun.

“Sesungguhnya 16 Julai 2019 adalah hari kemenangan bagi rakyat. Ia juga hari kemenangan dalam perjuangan blok pembangkang. Dengannya, hampir 8 juta pengundi baharu bakal mengundi kali pertama PRU ke-15.

“Kita menganggapkan 16hb Julai menjadi hari permulaan bagi seluruh rakyat yang automatik terdaftar sebagai pengundi menghidupkan gelombang baharu rakyat untuk memperbaiki dan membentuk kerajaan baharu PRU 15 akan datang.”

Katanya, biar rakyat yang memilih serta menghapuskan ketidakupayaan pemerintah (kakistocracy), kegagalan menunaikan janji serta pelbagai kebobrokan politik, ekonomi, sosial dan moral dalam pentadbiran negara.

“Bersama, kita rakyat boleh melakukannya.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.