Kenapa Kerajaan Johor Abaikan Projek Rumah Perumahan Rakyat? Soal Khaled

PASIR GUDANG, 17 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan kerajaan negeri perlu memberi penjelasan mengapa projek perumahan rakyat di kawasan Pasir Gudang tidak diteruskan, desak Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tegas Khaled yang juga bekas Menteri Besar, kesemua projek perumahan rakyat di kawasan tersebut akan memberi manfaat besar kepada para penduduk setempat yang amat memerlukannya.

“Malah, kesemuanya sama ada peruntukannya sudah diluluskan atau proses pecah tanah sudah dilakukan.

“Malangnya, sehingga kini tidak wujud sebarang kemajuan dan perkembangan dalam semua projek itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu juga turut menyenaraikan projek perumahan rakyat tersebut yang diabaikan oleh kerajaan negeri Johor, seperti berikut:

a) Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Kampung Sri Makmur yang telah dilakukan majlis pecah tanah pada 7 April 2018 melibatkan 620 unit pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Perumahan Komuniti Johor (PKJ-B) serta Kedai Kos Sederhana Rendah.

b) RMMJ Bandar Seri Alam yang telah dilakukan majlis pecah tanah pada 15 April 2018 melibatkan 1,122 unit yang melibatkan 421 unit Perumahan Komuniti Johor (PKJ-B) dan 701 unit RMMJ.

c) RMMJ Kampung Melayu Pandan (Jalan Imam) yang terlibat dalam pengambilalihan tanah Kem Tebrau telah diluluskan bagi membina 1,062 unit perumahan yang akan menyelesaikan masalah setinggan dan pemilikan tanah kepada 749 keluarga.

d) Projek Pembangunan Semula Kampung Warisan Senibong yang telah pun dipersetujui antara kerajaan negeri dengan syarikat pemaju, Tebrau Bay Sdn. Bhd. bagi menyediakan kediaman yang teres 2 tingkat pada harga RM25 ribu seunit untuk 100 keluarga asal di kampung tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.