Blok Pembangkang Kecewa, Guan Eng Enggan Mohon Maaf… Speaker ‘Double Standard’

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat hari ini tidak membenarkan usul untuk merujuk Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan mengelirukan Dewan.

Hal ini berikutan isu tuduhan kehilangan wang Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) yang dilemparkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Tuduhan merompak ini adalah tuduhan jenayah dan ia sangat ‘serius’ terhadap Barisan Nasional (BN). Sepatutnya Guan Eng berjiwa besar dan harus menarik balik segala tuduhan,” katanya.

Tegasnya, isu yang ditimbulkan adalah tuduhan merompak yang dibuat oleh Guan Eng di dalam Dewan dan menggunakan perkataan yang sama apabila membentangkan bajet pada tahun lepas.

“Blok pembangkang melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan Speaker yang tidak membenarkan usul yang saya bawa untuk merujuk Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan merompak dan mengelirukan Dewan.

“Speaker cuba mempertahankan Bagan dan seolah-olah mempertahankan tuduhan yang mengatakan duit GST dirompak oleh kerajaan yang lepas, sedangkan laporan PAC dengan jelas mengatakan tiada wang hilang sebanyak RM19.4 bilion sebaliknya ia berada di dalam akaun yang disatukan.

“Saya lihat banyak berlaku ‘double standard’ di dalam Dewan, contohnya Pasir Salak digantung empat hari dalam Dewan dan wakil PAS dari Pengkalan Chepa juga digantung satu hari, maka nampak ada macam ‘double standard’,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menambah ‘double standard’ ini jelas membuktikan tiada kredibiliti peaker dan sering memilih ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan untuk menyatakan pendapat masing-masing, walaupun ada juga cadangan yang baik dari pembangkang, namun speaker mengabaikannya.

“Pembangkang cuba memberi jalan keluar untuk menyelesaikan isu ini dengan syarat YB Bagan memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, tapi perkara ini tidak berlaku dan speaker tidak menyuruh YB Bagan menarik balik tuduhan itu dan tetap dengan usul.

“Prosedur bukannya satu kesilapan jenayah dan PAC telah membuktikan bahawa perkara itu tidak benar. Tiada kehilangan wang ini dan disatukan… tiada rompakan serta tiada bukti yang dituduhkan oleh Menteri kewangan tersebut tidak betul,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut mempertikaikan kesilapan Guan Eng dalam membentangkan kewangan tersebut.

“Kenapa hendak simpan duit tersebut ke dalam akaun GST, duit tersebut sewajarnya untuk kepentingam pembangunan dan negara.”

Ahli Parlimen Pontian pula, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan Guan Eng dan Speaker tidak membaca perenggan yang sangat penting serta rumusan.

“Speaker tidak membaca paragraph penting dalam rumusan dan tiada kehilangan wang dalam kutipan GST. Perkataan rompak ini adalah tidak benar dan tidak ada kehilangan wang dalam kutipan GST.”

Tambahnya dalam isu ini jelas tiada rompakan dan kehilangan wang yang diuar-uarkan oleh Guan Eng.

“Selama ini hanya rekaan dan mahu memburukkan BN.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.