Bersih Dedah Embargo Parlimen, PH Krik… Krik… Krik…, Sindir Najib

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Apa reaksi kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta pemimpin-pemimpinnya? Krik… krik… krik… sinis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam lontaran di Facebook, Najib mengulas mengenai tindakan Bersih yang dilaporkan telah melanggar embargo Parlimen, laporan persempadanan 2017 Sabah.

“Seluruh buku laporan embargo dikeluarkan. Bukan sekerat sahaja seperti kes saya.

“Tapi apa reaksi kerajaan PH? Krik.. krik… krik…

“Tak seorang pun pemimpin PH mengeluarkan sepatah ayat tentang kesalahan Bersih,” tegas Najib.

Jelas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu lagi, ia berbeza dengan apa yang berlaku kepadanya pada April lalu kerana atas dakwaan kononnya telah mendedahkan embargo Parlimen Kertas Putih FELDA, yang sebenarnya telahpun disiarkan terlebih dahulu di laman rasmi web Parlimen, kemudian ditarik balik.

“Masih ingat tak bulan April lalu apabila kecoh satu Dewan Rakyat kerana usul nak gantung tugas saya sebagai Ahli Parlimen untuk 3 bulan kerana saya didakwa langar embargo (larangan mengeluarkan dokumen sebelum sampai masanya)?

“Masa itu, PH nak fitnah saya kata saya telah tipu FELDA dengan pembelian syarikat sawit Indonesia dan menyebabkan kerugian berbilion-bilion. Pengurus FELDA turut dipanggil untuk membuat laporan polis terhadap saya pagi itu.

“Pada petang hari yang sama itu, saya memuatnaik sekerat dari kertas putih FELDA yang membuktikan wujudnya ‘Put Option’ untuk pembelian syarikat itu,” katanya lagi.

Tambah Najib, beliau turut menjelaskan dan membuktikan bahawa FELDA tidak akan rugi apa-apa dalam pembelian tersebut (lampiran, klik di sini).

“Malah, sudah gerenti untung. Tengok untung lebih atau untung kurang sahaja. Saya sayang FELDA yang dibina oleh Allahyarham ayahanda saya. Mana mungkin saya nak tipu FELDA?

“Lepas itu, kerajaan PH sangat marah. Kerana fitnah dan pembohongan mereka telah dibongkar. PH mengemukakan usul Parlimen nak halang saya ke Dewan Rakyat untuk 3 bulan. Siap berdebat satu jam lebih dalam Dewan tentang ‘kesalahan’ saya.

“Turut mengarahkan saya untuk berdepan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” imbasnya lagi.

Apa yang berlaku terang Najib, hanyalah sikap angkuh PH yang terus mahu memfitnahnya.

“Masa itu ‘kesalahan saya’ ialah memuatnaik satu kerat (setengah muka surat pun tak sampai) dari kertas putih yang dikeluarkan oleh kerajaan PH sendiri bagi membela diri dari fitnah kejam mereka bahawa saya tipu FELDA berbilion-bilion.

“Itu je,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.