Pindaan Had Umur Mengundi Kepada 18, Pembangkang Harap Jaminan Kerajaan

 

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaaan hak kelayakan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun merupakan satu pengitirafan kepada golongan terbabit dalam memacu bersama demokrasi di negara ini.

Menurut beliau pada masa yang sama ianya juga pengiktirafan terhadap kemampuan mereka untuk berfikir dengan matang di dalam menentukan kepimpinan negara.

“Saya bagi pihak pembangkang ingin sekali lagi mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah bersetuju dengan cadangan balas daripada pihak pembangkang supaya had umur mengundi yang diturunkan daripada 21 ke 18 dianggap terdaftar secara automatik apabila sampai tahap umur mereka.

“Begitu juga dengan calon cumanya ramai yang agak keliru apabila kita sebutkan calon boleh berumur 18 mereka ingatkan automatik juga umur 18 boleh jadi calon. sebenarnya ia terserah kepada parti nak lantik mereka yang berapa mereka setuju,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan umur mengundi dariapda 21 tahun kepada 18.

Ismail seterusnya menegaskan dalam soal pengiktirafan kepada golongan muda, Barisan Nasional (BN) dan UMNO merupakan parti pertama yang mengiktiraf golongan tersebut apabila diwujudkan Puteri UMNO yang mengiktiraf wanita muda selain daripada sayap parti yang lain.

Malah katanya lagi UMNO kini sedang meminda Perlembagaan parti untuk membuka keahlian kepada yang berumur 18 dan mesyuarat Majlis Tertinggi telah bersetuju menerima cadangan had kadar umur tersebut.

Dalam perbahasanya itu juga, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut berharap dengan lulusnya akta berkenaan, kesemua 3.6 juta iaitu yang melepasi umur 21 tahun yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar akan terdaftar secara automatik.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan kebimbangan dan ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada kerajaan berhubung beberapa perkara yang berkaitan selepas akta tersebut lulus nanti.

Antaranya ujar beliau apakah akan ditetapkan polisi disekolah-sekolah selain soal diskriminasi dan Kementerian Pelajaran mesti mempunyai peraturan yang jelas samaada sekolah akan digunakan sebagai tempat berpolitik kepartian atau sebaliknya.

“Kita juga ingin tahu apakah guru-guru dibenarkan terlibat dengan politik selepas ini. Sekarang ini terdapat diskriminasi yang jelas kepada guru-guru yang terlibat dengan politik. Guru yang menyokong pembangkang disishkan dan diberikan amaran dan sebagainya.

“Begitu juga dengan pelajar… kalau pelajar secara terbuka menyokong parti pembangkang apakah akan berlaku tekanan kepada pelajar ini. Kita mesti faham bahawa pelajar ini akan naik ke IPT dan sebagainya. Adakah akan ada diskriminasi kepada mereka yang menyokong pembangkang apabila mereka ingin masuk ke universiti-universiti dan sebagainya.

“Mereka juga memerlukan pinjaman PTPTN, mereka juga perlukan pinjaman-pinjaman MARA dan sebagainya . Adakah kerajaan boleh secara terbuka menerima pembangkang dari kalangan pelajar kerana mereka selepas ini bebas untuk memilih parti yang mereka suka,” ujarnya.

Ujar beliau lagi hari ini ahli parlimen Pembangkang tidak dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah, tidak dibenarkan untuk merasmikan mesyuarat PIBG serta tidak dibenarkan untuk merasmikan sukan-sukan sekolah.

Jadi tegas beliau perkara inilah yang perlu dijelaskan oleh kerajaan dari segi diskriminasi, kebebasan atau pun suasana bagaimana yang ada di sekolah, kolej, matrikulasi dan sebagianya.

Pada masa yang sama beliau turut melontarkan pandangan agar pendidikan politik dan demokrasi harus diberikan penekanan di peringkat sekolah supaya kesedaran mereka terhadap soal peranan parlimen, apakah Raja Berpelembagaan dan sebagainya lagi dapat difahami dengan jelas supaya mereka faham tentang sistem demokrasi negara .

“Ini menyebabkan mereka berminat untuk menjadi pengundi kalau mereka tahu hak mereka dan juga tahu kenapa mereka perlu mengundi. Kenapa mereka perlu pilih satu pemerintah.

“Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun ketika ini memperkenalkan program pendidikan pengundi mulai 2017 hingga okt 2018 , tetapi hanya 31, 355 sahaja pelajar yang menerima pendidikan pengundi tadi. Saya harap ianya diperluaskan.

“Ini kerana pengetahuan luas ini tentu sahaja mereka tidak akan terpengaruh dengan janji-janji kosong daripada pihak yang mengeluarkan serta tidak menunaikan dan mereka boleh menilai dengan sendiri,“ tambahnya.

kekurangan tentang pengetahuan dalam soal inilah menyebabkan terpengaruh dnegan janji-janji sedangkan dewasa pun dengan manifesto yang begitu cantik dengan janji yang begitu manis terpengaruh, inikan pulak yang berumur 18 tahun ke atas kalau kurangnya pengetahuan yang mendalam tentang demokrasi dan sebagainya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.