Pembangkang Komited Dengan Janji, Sokongan Jadi Bukti – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata blok pembangkang setiasa menunaikan janji apabila berjanji dan bukannya macam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pembangkang sentiasa komited terhadap janji-janji dan sokongan penuh Dewan Rakyat terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 menjadi bukti yang nyata bahawa pembangkang tetap mengotakan janjinya.

“Kita sentiasa menetapi janji kita… kita janji pada pihak kerajaan dan menyokong maka terbukti bahawa kita menyokongnya.

“RUU ini merupakan satu pengiktifan kepada golongan muda dan meyakini kemampuan mereka berfikir untuk menentukan kerajaan dan kepimpinan negara yang akan datang,” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.

Tambahnya, hari ini sudah terbukti blok pembangkang semua yang hadir memberikan sokongan dan ini adalah pertama kali dalam sejarah seratus peratus menyokong usul yang dikemukakan tersebut.

“Seperti saya sebutkan semasa dalam perbahasan, dalam UMNO sendiri kita memang parti pertama yang menubuhkan sayap Puteri UMNO. Itu bukti jelas bahawa kita mempercayai kemampuan golongan muda utk jadi ahli UMNO. Kita akan pinda perlembagaan parti untuk buka keahlian seawal usia 16 tahun.

“Jadi, pindaan ini selaras dengan apa yang diperjuangkan pembangkang utk kepentingan golongan muda dan yang paling penting sekali, walaupun peringkat awal hanya usia 18 tahun tetapi daftar secara manual tetapi apabila kita adakan rundingan, Perdana Menteri bersetuju.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad malah memaklumkan kepada kita bahawa beliau akan menarik balik RUU yang asal dan menggantikan dengan RUU dipinda seperti yang dipohon pembangkang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.”

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda Rang Undang-Undang ini untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.