100 Ribu Rumah Mampu Milik Johor: Audit Negara Sahkan PH Gagal, Bukan 5 Tahun Tapi 51 Tahun

PASIR GUDANG, 16 Julai – Laporan Ketua Audit Negara mengenai hal perumahan di Johor jelas menunjukkan Pakatan Harapan (PH) Johor memang tidak punyai pelan serta perancangan yang jelas, sekaligus keupayaan dan kompetensi mereka boleh dipertikaikan, ujar Noor Azleen Ambros, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Ini kerana ujarnya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH Johor berjanji untuk membina 100,000 buah rumah mampu milik dalam masa lima tahun, iaitu sebelum atau pada tahun 2023 jika mereka berjaya dalam PRU.

“Semalam, memetik laporan Ketua Audit Negara 2018, seperti juga yang dilaporkan media Malay Mail, Kerajaan Negeri Johor di bawah PH memerlukan masa 51 tahun untuk mencapai sasaran tersebut. Ada perbezaan besar 46 tahun.

“Melainkan mereka berani dan boleh kongsikan dengan umum butiran perancangan mereka, termasuklah maklumat mengenai lokasi rumah mampu milik akan dibina, berapa jumlah bilangan, bila dijangka projek tersebut bermula, dan jangkaan bila projek tersebut akan siap – barulah kita boleh anggap bahawa laporan Ketua Audit Negara itu yang silap,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kegagalan menunaikan apa yang dijanjikan itu jelas Noor Azleen lagi sudah menjadi satu kenyataan bahawa PH sememangnya sinonim dengan sifat-sifat seperti penipu dan pembohong, bukan sahaja dalam berbuat janji malah dalam hendak melaksanakan janji.

“Yang kita kesian, fikirkan nasib pengundi yang mengharapkan kononnya PH akan membuat sesuatu yang lebih baik dari apa yang dilakukan oleh kerajaan UMNO/Barisan Nasional sebelum ini. Ternyata itu hanya mitos dan palsu belaka.

“Tatkala rakyat dibelenggu dengan dilema harga rumah dan kos sara hidup yang makin melambung, sewajarnyalah kerajaan main peranan bantu dengan dasar dan strategi yang betul,” katanya.

Noor Azleen turut memberikan pandangan mengenai pemilikan rumah mampu milik.

“Bekalan (supply) rumah mampu milik boleh ditingkatkan dengan dasar perumahan yang menyeluruh dan jelas, selain memperkasa peranan anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Johor Land, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Holdings.

“Di samping itu, kerjasama dengan pemaju swasta juga boleh dilakukan yang mana kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara, dalam membantu pemaju swasta berkenaan menunaikan tanggung jawab mereka untuk menyediakan serta membina komponen rumah mampu milik,” tambahnya. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.