PH Perlu Tumpu Ekonomi, Bukannya Berbalah Siapa Ganti… Siapa Bakal PM – Dr Asyraf

 

KUALA  LUMPUR 15 Julai – Pemuda UMNO hari ini menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan yang sewajarnya dalam soal ekonomi rakyat khususnya ekonomi yang melibatkan golongan muda kerana situasi yang ada kini cukup meresahkan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata PH perlu memberi tumpuan kepada soal berkenaan berbanding membicarakan hal jawatan perdana menteri dan sebagainya lagi kerana soal ekonomi adalah perkara yang cukup penting.

“PH harus berikan perhatian berbanding dengan pergolakan dan perbalahan mereka siapa nak jadi Perdana Menteri … kem Datuk Seri Anwar atau kem Datuk Seri Mukhriz.

“Jadi kita rasa henti-hentikanlah menekan Perdana Menteri hari ini untuk meletak jawatan atau untuk memeterai persetujuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab rakyat tidak mahu dengar siapa nak ganti siapa dan siapa jadi PM atau apakah bakal PM akan kekal selamanya… akan kekal sebagai bakal. Rakyat sedang resah di bawah dengan isu ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Serentak itu, Asyraf turut memberitahu pergerakan itu akan lebih agresif dalam isu-isu yang melibatkan soal-soal ekonomi rakyat terutama yang melibatkan anak-anak muda.

“Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi tempoh pentadbiran PH daripada Mei 2018 hingga Mei 2019 menunjukkan hanya 299.9 ribu pekerjaan baru yang dicipta dan ini jauh daripada apa yang diaspirasikan oleh kerajaan PH.

“Ini tidak termasuk laporan yang menggusarkan kita oleh ‘employee association’ yang mengatakan by the year 2020 kadar pengangguran akan mencecah sehingga 500 ribu dan kita amat resah dengana apa yang berlaku malah kita menerima aduan daripada anak-anak muda yang hari ini dibuang kerja,” tambahnya.

Tambahnya lagi kebetulan pada minggu lepas pergerakan itu ada sesi suai kenal dengan sukarelawan-sukarelawan pergerakan Pemuda UMNO dan input yang diterima amat menggusarkan.

“Ada kalangan yang datang interview mahu menjadi sukarelawan skuad Sabil Pemuda UMNO yang mempunyai  masters dan first degree 4.0 tetapi dibuang kerja dan hari ini bekerja sebagai pemandu grab.

“Jadi ini betul-betul menjadi isu yang amat dekat dengan hati Pemuda dan sebab itulah ekonomi rakyat terutama anak-anak muda ini menjadi tema perjuangan penting dan akan menjadi lebih agresif iaitu akan dilakukan oleh Jawatankuasa Pemantauan Ekonomi Rakyat (PANTAU),” ujarnya.

Ujar beliau lagi penciptaan pekerjaan yang selama setahun kerajaan PH hari ini jauh lebih rendah berbanding dengan setahun sebelumnya di bawah kerajan BN yang mana jika sebelum itu antara Mei 2017 hingga Mei 2018, sebanyak 398,200 pekerjaan baru yang dicipta.

Ini tegasnya lagi menunjukkan kegagalan PH bukan sahaja menepati janji kepada anak muda menyediakan peluang pekerjaan tetapi sehingga ke hari ini ekonomi bertambah teruk termasuklah dasar-dasar polisi mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara hati blok pembangkang berhubung penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun tetapi dengan syarat ianya harus dilakukan secara automatik.

“Pemuda UMNO sebelum ini turut menyatakan pandangan yang sama berhubung perkara ini. Sehubungan itu, Pemuda akan mendekati anak muda seawal mereka masuk ke sekolah menengah.

“Langkah ini bukan untuk menghasut mereka tetapi tanggungjawab Pemuda UMNO juga adalah untuk memberikan pendidikan politik kepada anak-anak muda ini melalui pelbagai medium dan juga ruang-ruang yang ada termasuk juga ruang media sosial dan juga pendekatan tradisional menerusi ‘face to face’ communication,” katanya.

Katanya lagi ini penting dalam usaha membudayakan satu budaya politik yang sihat dan supaya anak muda ini mempunyai kefahaman politik yang tuntas selain mereka boleh membuat keputusan apabila mencecah umur 18 tahun dengan bijaksana dan matang seterusnya mereka boleh menjadi aset negara pada masa akan datang. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.