Laporan PAC: Tuduhan ‘Rompakan’ Telah Terbukti Tidak Benar

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa blok Pembangkang telah mengusulkan agar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas tuduhannya sebelum ini bahawa wang bayaran balik GST telah dirompak kerajaan terdahulu.

Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengeluarkan laporan siasatannya pada hari ini tentang dakwaan ‘rompakan’ oleh Menteri Kewangan berkenaan perkara tersebut.

Maklum beliau, di dalam laporan PAC ini terdapat dua perkara yang utama yang perlu diberikan perhatian iaitu:
1) tidak ada kehilangan wang kutipan GST; dan
2) penangguhan bayaran balik dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada di dalam keadaan defisit pengurusan.

“Walaupun di dalam laporan PAC ini turut dinyatakan bahawa terdapat perlanggaran tentang tatacara pengurusan kutipan GST dan bayaran balik terutamanya melibatkan perpindahan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST dan perkara ini masih terbuka untuk siasatan selanjutnya, tetapi tuduhan ‘rompakan’ adalah suatu tuduhan serius yang telah terbukti tidak benar.”

Dengan itu, katanya, jelas sekali bahawa ucapan yang dibuat oleh Menteri Kewangan ini bukan sahaja suatu sangkaan jahat yang melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) sehingga memberi gambaran buruk kepada pentadbiran terdahulu malah telah dengan sengaja mengelirukan Dewan dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36(12) seolah-olah suatu kejahatan iaitu rompakan telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Walau bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming telah menolak usul ini untuk dibincangkan pada hari ini dan telah meminta agar blok Pembangkang membawakan usul secara bertulis,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Jelasnya, mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), usul bertulis ini memerlukan notis 14 hari, tetapi Persidangan Dewan Rakyat untuk sesi kali ini akan berakhir pada hari Khamis ini.

“Justeru, Pembangkang telah meminta Timbalan Yang di-Pertua memberi jaminan agar usul ini dapat dibawa sebelum persidangan berakhir pada hari Khamis nanti. Nga Kor Ming hanya menyatakan keputusan berkenaan perkara ini akan dibuat mengikut peruntukan peraturan sedia ada,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.