Selepas BN Kalah, Rakyat Mula Sedar Siapa Sebenarnya Yang Bela Dan Jaga Mereka
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hari ini rakyat boleh membuat perbandingan antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang mana akhirnya telah menimbulkan kesedaran dikalangan mereka yang selama ini dimomokkan bahawa pemimpin BN dan UMNO begitu teruk.
Sedangkan hakikatnya tegas beliau apa yang dilaksana dan dibuat oleh kerajaan terdahulu adalah untuk kepentingan rakyat berbanding kerajaan hari ini yang rata-rata secara umumnya telah dapat dilihat secara dekat oleh rakyat.
“Dulu kita menang selalu mereka memburukkan dan memfitnah kita… tidak elok dahulu semua BN… yang tidak elok semua menteri BN… yang tidak elok semua menteri-menteri UMNO dan sebagainya, tetapi apabila kita kalah dan pemerintahan diambil oleh PH, barulah rakyat tengok. Sekarang dah menyesal.
“Ini yang tidak nampak dulu. Dulu dicanang GST tidak elok… rakyat susah kerana GST… dahulu… walaupun kita dah kecualikan cukai terhadap barang makanan, tetapi masih lagi rakyat beranggapan barang naik kerana GST,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO bahagian Lembah Pantai,di sini, hari ini. Turut bersama Ketua UMNO bahagian, Datuk Ramlan Askolani serta pimpinan UMNO yang lain. Rakan taawun daripada PAS Lembah Pantai turut hadir.
Tegas Ismail lagi apabila dihapuskan GST setelah PH mengambil alih pemerintahan harga barang masih tidak turun malah negara kehilangan hasil apabila pendapatan daripada SST berkurangan.
“Tidak ada negara dalam dunia yang undur ke belakang kepada SST melainkan kita. 160 lebih negara melaksanakan GST kerana tahu kebaikannya berbanding SST dan sekarang pendapatan melalui SST sebanyak RM21 bilion. Dulu masa GST RM44 bilion… RM23 bilion boleh kita gunakan untuk diagihkan kepada rakyat.
“Sekarang baru sedar… dulu kerajaan mengutip tol ditohmah lagi kerajaan BN pada waktu. Nampak tol maki kerajaan pada waktu itu sebab PH kata kalau menang tol akan dihapuskan. Nasib baik jugalah kita kalah… kalau kita tidak kalah kena maki lagi,” ujarnya.
Hari ini ujar beliau tol masih belum lagi dihapuskan dan sepertimana yang dilontarkan sebelum ini, bukan perkara senang untuk menghapuskan tol kerana ianya melibatkan pembayaran pampasan kepada konsesi.
“Dulu kita tidak mahu naikkan kadar tol sepertimana perjanjian, kita lanjutkan tempoh konsesi supaya kita tidak perlu bayar. Kalau kita tidak kalah… rakyat tidak tahu. Begitu juga orang muda pada waktu itu dijanjikan berhubung bayaran balik PTPTN dan sebagainya lagi. Kalau tidak kalah mereka juga tidak tahu dan begitu juga dengan warga Felda yang dijanjikan dengan penghapusan hutang.
“Rupa-rupanya apabila dah menang hutang tidak dihapuskan, dulu waktu kita jadi kerajaan jika pendapatan mereka kurang daripada RM1,500 tangguhkan pembayaran hutang. Sekarang tidak tahulah,” ujarnya.
Ujar beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bera hari ini bukan sahaja orang muda, malah mereka yang membayar tol serta warga Felda dan sebagainya lagi mula merungut dan benci kepada kerajaan hari ini.
“Pembentukan kerajaan hari ini bukan berasaskan perjuangan apa-apa.. tetapi berasaskan kepada penipuan dan gula-gulakan rakyat serta pelbagai fitnah lain yang akhirnya kebenaran akan terserlah jua,” katanya. – MediaUMNO