Patutlah Canang Hutang RM1 Trilion, Cita-cita PH Rupanya – Mohamad

 

KUALA KRAI, 12 Julai – Pakatan Harapan (PH) sering mengatakan hutang negara mencecah RM1 trilion kerana sebenarnya mereka telah mempunyai cita-cita untuk berhutang, demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang secara sinis mengulas mengenai hutang negara.

Ironinya ujar Mohamad dalam masa setahun sahaja memerintah PH telah menambah hutang baru rasmi negara sebanyak RM110 bilion.

Menurut Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, pada tahun 2018 kadar pinjaman rasmi kerajaan hanya RM686 bilion dalam masa 62 tahun kerajaan Perikatan serta Barisan Nasional (BN) mentadbir, tetapi hari ini telah meningkat begitu mendadak sehingga ke angka RM800 bilion.

“Baru setahun mentadbir dah menambah hutang baru iaitu hutang rasmi RM110 bilion. Agaknya kalau lima tahun mentadbir dia akan menambah RM500 bilion maka akan tercapailah RM1 trilion.

“Ini yang sedang berlaku dan ini musibah yang sedang menunggu kita.

“Sebab itu saya katakan maka tidak ada jalan lain….tidak ada jalan lain selain daripada kita memastikan perkasakan parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Kuala Krai, di Pusat Khidmat Rakyat Chabang Sungai Sok, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan barisan pimpinan UMNO yang lain.

Turut sama barisan kepimpinan parti-parti komponen BN termasuk rakan ta’awun, delegasi PAS Kuala Krai.

Tambah Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat, parti harus diperkasakan dan perlu bangkit dengan apa cara sekali pun serta tidak boleh lena dibuai mimpi yang lama.

“Kita perbetulkan mana silap dan mana betul. Nikmat Allah SWT dalam pelbagai bentuk. Nikmat untuk menyedarkan kita, nikmat untuk memberikan kita hidayah, nikmat untuk kita bangkit semula. Ini nikmatnya.

“Kalau tidak kalah kita belum lagi menerokai agenda penyatuan ummah kerana kita dibuai oleh khayalan tetapi kerana adanya hikmah tewas pada PRU (pilihan raya umum) lalu maka terbuka hati kita untuk bersama,” tambah Tok Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

Tegasnya lagi, semua pihak tidak harus bertelingkah dan perlu mencari kata penamat untuk kepentingan semua pihak.

“Kita cari punca kenapa kita kalah…kita kalah kerana kita tidak bersatu…kita kalah kita berselisih…kita kalah kerana curiga-mencurigai antara satu dengan yang lain.

“Maka hikmahnya dan iktibar daripada itu kita mesti hapus perasaan curiga-mencurigai dan syak wasangka maka mari kita duduk bersama-sama dan Alhamdulillah hari ini saya boleh katalah ramai yang datang jumpa mengatakan kami tidak bahagia sekarang ini.

“Alhamdulillah dan inilah hikmah dia. Tercapai dan sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran yang mengajak ke arah penyatuan dan tidak berpecah belah. Rasulullah SAW menyatakan bahawa umat aku tidak akan sesat jika berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dan ini yang patut kita buat,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.