Had Umur Undi: UMNO Awal Bersedia, Yakin Penuh Terhadap Orang Muda

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UMNO sememangnya lebih awal bersedia menyambut baik cadangan kerajaan agar had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Ini berdasarkan kesediaan parti untuk menurunkan syarat kelayakan untuk menjadi ahli UMNO daripada 18 tahun ke 16 tahun.

“Maknanya kita memang sudah bersedia ke arah itu dan sebab itu kita tidak menentang dan bersetuju.

Pertamanya kita hendak menggambarkan UMNO ini mempunyai keyakinan penuh kepada orang muda, mesra orang muda.

“Perkara ini telah pun kita bincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi. Hampir keseluruhan ahli bersetuju menjadi keputusan bersama bersetuju mengenai had umur itu,” ujarnya dalam Diskusi Dari Parlimen, malam tadi yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online.

Untuk rekod, ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyentuh mengenai had umur keahlian parti, yang akan diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun.

Tambah Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, majoriti negara-negara di Asia Tenggara (ASEAN) telah mempraktikkan umur 18 tahun sebagai pemilih.

“Di negara-negara lain, di ASEAN ini Indonesia paling rendah untuk mengundi iaitu 17 tahun di negara lain 18 tahun kecuali Malaysia dan Singapura. Myanmar, Laos, Cambodia 18 tahun, malah di negara Asia seperti Bangladesh, Nepal 18 tahun.

“Jika ada yang kata had umur 18 tahun ini terlalu muda, pemikiran mereka belum matang saya percaya takkanlah belia-belia di Laos, Myanmar jauh lebih matang dari kita dari segi berfikir dan sebagainya.

“Lebih-lebih lagi kita kena yakin sekarang ini zaman moden, informasi berada di hujung jari dan belia hari ini mempunyai informasi yang mencukupi yang mendewasakan mereka lebih cepat dari umur sebenarnya. Jadi sebab itulah UMNO merasa yakin bahawa 18 tahun itu bukanlah satu umur yang terlalu muda memahami keadaan sekitar terutama hal ehwal negara dan sebagainya,” kata ahli Parlimen Bera itu.

Jelas Ismail lagi, walaupun tiada bantahan dari segi perubahan umur mengundi, parti pembangkang lebih ke hadapan apabila menggesa kerajaan agar dibuat pendaftaran pemilih secara automatik.

“Kita cadangkan secara automatik tetapi mereka (kerajaan) secara manual. Kalau kita lihat pengundi-pengundi Melayu misalnya ramai yang tidak mendaftar.

“3.9 juta (tidak mendaftar) setakat hari ini dan saya percaya 80 peratus adalah orang Melayu, belia-belia Melayu dengan pelbagai masalah seperti logistik dan sebagainya.

“18 tahun ini walaupun mereka boleh mengundi tetapi dari segi pengaruh ibu bapa masih kuat di kalangan mereka walaupun kita dah anggap mereka boleh dianggap sebagai dewasa dan boleh berfikir sendiri tetapi pengaruh ibu bapa kuat.

“Dan kita dalam UMNO dulu pernah ada program ‘Keluargaku Ahli UMNO’ sebagai contoh. Jadi ini kita boleh gerakkan dengan lebih aktif lagi supaya kita mengambil ‘advantage’ dari umur 18 tahun ini atas faktor pengaruh keluarga masih kuat supaya mereka ini bersama kita,” ujarnya.

Terangnya lagi, pendaftaran secara automatik sudah pasti akan meningkatkan lagi jumlah pengundi Melayu dan memberi kelebihan kepada parti.

“Kalau kita lihat pengundi Melayu, dengan automatik ini bertambah ramai pengundi Melayu dan melihat dari segi ‘trend’ keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Melayu masih menyokong kerajaan (ketika itu), hampir 46 peratus pengundi Melayu beri sokongan kepada UMNO dan hampir 30 peratus kepada PAS.

“Dengan gabungan UMNO PAS ini bermakna 75 peratus pengundi Melayu memberi undi kepada UMNO dan PAS. Kalaulah ‘trend’ ini boleh diturunkan kepada anak-anak mereka (bersandarkan pengaruh ibu bapa), kita mempunyai ‘advantage’,” tambahnya.

Kata Ismail lagi, sokongan kepada kerajaan mengenai perkara tersebut juga menunjukkan kematangan blok pembangkang membantu kerajaan untuk mendapatkan dua pertiga bagi meminda perlembagaan mengenai had umur berjalan dengan lancar.

“Apabila kerajaan bentangkan umur 18 tahun itu, kita bersetuju tetapi kita kata akan tolak usul itu jika daftar undi secara manual, kita kata mesti secara automatik.

“Kita mempunyai alasan yang kukuh, yang tidak mendaftar mengundi bukan semata-mata kerana malas untuk mengundi, sesetengah itu kerana masalah kedudukan dan logistiknya sebagai contoh perbincangan bersama UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“GPS menekankan bahawa kekangan yang terbesar bagi mendaftar mengundi di Sarawak kerana kedudukan demografi pengundi dan dari segi logistiknya. Dalam perlembagaan negara jelas mengundi itu adalah hak setiap individu. Mengundi tidak timbul isu kerana dibuat di sekolah yang tidak jauh dari penempatan mereka,” ujarnya.

Selain had umur mengundi, pembangkang juga berjuang supaya rakyat yang berumur 18 tahun layak sebagai calon pilihan raya selaras dengan perubahan umur layak mengundi, tegas Ismail. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.