Polis Perlu Tegas Siasat Aduan Rogol ADUN Dap
KUALA LUMPUR 11 Julai – Pihak polis diminta berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam siasatan dakwaan rogol oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, kes rogol merupakan satu kesalahan jenayah yang serius dan tidak munasabah suspek tidak ditahan reman.
Katanya, Untuk mana-mana kes rogol apabila mangsa membuat laporan polis, suspek kes rogol tersebut akan ditahan reman terlebih dahulu.
“Saya sangat terkejut dengan keputusan pihak polis yang memberikan jaminan pada tertuduh memandangkan kes rogol ini merupakan satu kesalahan jenayah yang serius dan adalah tidak munasabah seorang suspek kes rogol tidak ditahan reman untuk siasatan malah langsung diberikan jaminan pembebasannya,” katanya dalam kenyataan media.
ADUN yang juga exco kerajaan negeri Perak daripada DAP yang ditahan polis semalam setelah dikaitkan dengan tuduhan rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun itu hadir bersama peguamnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 9 malam semalam.
Bagaimanapun Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan kes berkenaan dilengkapkan.
Menurut Wan Muhammad Azri, kebanyakkan suspek kes rogol tidak diberikan jaminan oleh pihak polis dan ditempatkan di pusat tahanan sementara bagi menjamin keselamatan pengadu.
“Saya kini amat bimbang dengan pengadu wanita muda warga Indonesia kerana dengan bebasnya suspek ADUN DAP ini akan merisikokan pengadu dan juga siasatan dalam kes ini.
“Kebarangkalian juga sangat tinggi untuk pengadu hilang dan seterusnya kes ini diklafikasikan sebagai NFA dan perogol bebas tanpa sebarang hukuman mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis untuk memberikan perlindungan maksimun kepada mangsa dan menjalankan amanah dan tanggungjawap dalam siasatan kes rogol ini tanpa membelakangkan kedaulatan undang-undang.
*Saya pegang bahu menteri direman empat hari tiga malam dan dituduh di Mahkamah. Perogol yang merogol wanita tidak direman malah bebas mengeluarkan kenyataan media,” katanya. – Utusan Online