Had Umur Belia Perlu Dapatkan Pandangan Anak Muda

JOHOR BAHRU 11 Julai – Keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan semula had umur belia di Johor kepada 40 tahun sudah pasti dibuat selepas mendapat desakan dan maklum balas daripada pelbagai pihak terutama anak-anak muda di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun pada mulanya ada banyak pusingan U dibuat kerajaan negeri, namun beliau percaya mereka akhirnya terpaksa akur dengan suara isi hati anak-anak muda di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu jelas kerana bukan Johor sahaja yang menolak pindaan had umur belia kepada 30 tahun tetapi juga Selangor, Sabah, Sarawak, Perlis dan Pahang turut mengambil keputusan sama dengan kerajaan negeri ini.

“Mengapa perkara itu belaku, adakah Kementerian Belia dan Sukan tidak membuat perbincangan dengan anak-anak muda, pertubuan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan belia…apakah kementerian tidak mendapatkan maklum balas mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, hakikatnya ada banyak perkara yang dibangkitkan anak-anak muda yang perlu diberi pertimbangan antaranya pelaksanaan Rang Undang-Undang Belia dan Pembangunan 2019 dibimbangi akan menafikan hak belia terutama yang baru memulakan perniagaan untuk mendapatkan bantuan.

Tambahnya, jika had umur belia itu dipinda kepada 30 tahun, ramai yang tidak dapat menikmati pelbagai skim latihan, bantuan pinjaman atau geran yang disediakan baik kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri selain kelompongan pemimpin pelapis berkebolehan memimpin pertubuhan belia dengan efektif.

“Saya percaya niat yang baik perlu diurus dengan baik kerana jika ia tidak maka keadaan menjadi kelam kabut seperti apa yang kita lihat hari ini. Semua pemegang taruh sepatutnya diajak berbincang apabila sesuatu keputusan penting seperti itu hendak dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.