Tak Mampu Jawab Secara Spesifik, Tak Mampu Tangkis Tohmahan Ciptaan Sendiri… PH Guna Peraturan Mesyuarat

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bukan sahaja tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan secara spesifik malahan tidak mampu menangkis tohmahan ciptaan mereka sendiri.

Bahkan ujar Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga, hingga ada pemimpin blok kerajaan yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menghalangnnya mengutarakan soalan berkaitan.

“Soalan saya di Dewan Rakyat pagi ini mengundang rasa tidak senang pemimpin kerajaan sehingga Ahli Parlimen Kota Melaka (PH) terpaksa membangkitkan Peraturan Mesyuarat.

“Kononnya soalan saya tidak relevan dan melanggar Peraturan Mesyuarat di Dewan Rakyat. Malah, jumlah perkataan soalan turut dipersoalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Jelas Ka Siong, isu asas yang diutarakan adalah mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Apakah komponen projek ECRL yang tidak lagi dilaksanakan selepas kos terdahulu RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion. Bukankah ini satu pengecilan skop (downsizing) yang pasti akan mengurangkan kos pembinaan dan ianya bukan penjimatan berdasarkan skop asal.

“Kenapa kerajaan tidak mengguna pakai cadangan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan iaitu Tony Pua pada 15 November 2016 yang menganggarkan kos sebenar ECRL hanya RM29 bilion sahaja,” tanyanya kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Ka Siong turut menimbulkan soalan tambahan berkaitan dakwaan Tony Pua yang pernah berkata kerajaan BN terdahulu menggelapkan RM25 bilion.

Kenyataan Malaysia Rail Link (MRL) pada 9 Mei 2019 mengatakan perjanjian ECRL yang dimeterai 3 tahun lalu tidak ada elemen ‘over pricing’.

“Ini bermakna, tohmahan Tony Pua (kini Setiausaha Politik Lim Guan Eng) kononnya RM25 bilion digelapkan daripada projek ini terbukti satu penipuan,” tegasnya.

Selanjutnya, Ka Siong juga bertanya mengenai perubahan trafik dan ramalan pendapatan (revenue) ECRL setelah jajaran ECRL kini tidak lagi melalui Gombak dan Bentong sebaliknya beralih ke Putrajaya dan Jelebu.

“Jajaran turut dipendekkan, tidak lagi sampai ke sempadan Thailand. Apa pula kesan atau implikasi dari sudut aliran trafik kargo dari selatan Thailand?

“Tidakkah ia menjejaskan implikasi ECRL itu sendiri dan juga pelabuhan Kuantan? Soalnya, yang kecewa menteri tidak mampu menjawab segala persoalan yang dibangkitkan secara spesifik.

Justeru itu, Ka Siong merumuskan beberapa kesimpulan.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke kata jajaran ECRL yang pada asalnya sepanjang 688km dipendekkan kepada 648km bukanlah pengecilan skala projek (downsizing).

“Kerajaan PH menolak formula Tony Pua (kini Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng) yang kata kos untuk projek ECRL sepatutnya lebih rendah iaitu RM29 bilion.

“Kenyataan MRL pada 9 Mei 2019 mengatakan perjanjian ECRL yang dimeterai 3 tahun lalu tidak ada elemen ‘over pricing’. Jadi, dakwaan Tony Pua, Rafizi Ramli dan Dr Hatta Ramli yang pernah kata kerajaan BN terdahulu menggelapkan RM25 bilion terbukti satu penipuan,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.