Shahrir Bidas Penasihat Media PM ‘Nipis Telinga’, Guna Kuasa Tekan Ahli Akademik

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas penasihat media kepada Perdana Menteri (PM), Datuk A Kadir Jasin yang semakin ‘nipis telinga’ dan cepat melenting menggunakan kuasa jawatannya apabila terdapat apa sahaja teguran terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dulu, sebagai seorang pengamal media, Kadir Jasin mempertahankan prinsip kebebasan bersuara kerana kebebasan itulah punca kuasanya.

“Hari ini, sebagai penasihat media kepada Perdana Menteri PH, beliau sebenarnya berkuasa untuk memantapkan lagi prinsip kebebasan besuara itu dalam negara.

“Sebaliknya, sudah berkuasa, Kadir Jasin semakin ‘nipis telinga’ dan cepat melenting apabila ada apa sahaja teguran terhadap kerajaan PH,” tegasnya dalam Facebook, merujuk laporan sebuah akhbar yang menyatakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengarahkan Pensyarah Sains Politik, Abdul Muein Abadi supaya tidak menulis sebarang isu politik yang sensitif.

Pada 2 Julai lalu, Abdul Muein telah memuat naik status di Facebook yang mendedahkan laporan eksklusif: 400 hari Pakatan jual lebih RM20 bilion aset negara, yang mendapat lebih 3,300 perkongsian dari Facebooker.

Penulisan tersebut yang disokong berdasarkan laporan rasmi dan sumber yang berkredibiliti bagaimanapun mendapat perhatian yang tidak sewajarnya daripada Kadir hingga membuat tuduhan tidak sepatutnya membabitkan pihak pengurusan UKM.

Dalam status di media sosialnya itu, Abdul Muein kecewa dengan sikap Kadir yang bukan sahaja tidak mampu menjawab perkara yang dibangkitkannya malah hingga ke tahap melemparkan fitnah terhadap pihak pengurusan universitinya.

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa barisan pentadbir UKM hari ini telah memberi kebebasan akademik kepada kami para pensyarah – sebelum adanya campur tangan seorang Penasihat Perdana Menteri tempoh hari.

“Sungguh tidak disangka sama sekali Penasihat Perdana Menteri yang gagal menjawab kesemua fakta yang saya hujahkan tempoh hari telah bertindak menuduh pihak-pihak yang tidak berkaitan sama sekali. Dalam tuduhan di bawah, nama Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar telah dituduh sebagai ‘duri dalam daging’ kerajaan iaitu ‘the deep state’.

“Saya ingin membersihkan nama baik Naib Canselor UKM dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah UKM daripada tuduhan Penasihat Perdana Menteri ini. Demi Allah, kami tidak pernah bertemu, bermesyuarat, apatah lagi terlibat dengan sebarang konspirasi seperti mana tuduhan liar Penasihat Perdana Menteri ini,” ujar pensyarah Sains Politik yang telah berkhidmat lebih sedekad di UKM itu.

Justeru Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda menimbulkan persoalan adakah apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH semuanya benar belaka.

“Adakah kerajaan PH itu semuanya betul? PM dan beliau sendiri mengakui ianya kerajaan yg lemah. 50% pencapaian, kata PM PH. 39% kata satu bancian Merdeka Centre.

“Betullah kata orang tua-tua; kuasa boleh buat kita menyeleweng dan kuasa yazng tanpa had akan buat kita menyeleweng habis,” tegurnya lagi.

Tambah Shahrir, kuasa merupakan satu ujian kepada mereka yang memperolehinya.

“Kuasa itu ujian. Bila diberikan kepada seseorang yang lemah, bukan dari segi tubuh badan, tapi dari segi prinsip, kuasa itu akan menunjukkan kelemahannya,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.