Penolakan Pindaan Had Umur Belia Bukti Kerajaan PH Cacamarba

ALOR SETAR, 10 Julai – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, penolakan kebanyakan negeri terhadap pindaan Rang Undang Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (pindaan) 2019, yang menurunkan had umur belia daripada 40 kepada kepada 30 tahun jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan cacamarba.

Jelas beliau, tindakan kerajaan negeri menolak peraturan kerajaan persekutuan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan lebih memeranjatkan negeri yang menolak adalah negeri di bawah pemerintahan kerajaan PH sendiri.

“Setakat ini negeri yang telah menolak perlaksaan umur belia 30 tahun adalah Perlis, Johor dan Selangor. Ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerajaan Persekutuan dan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Jelas Syed Saddiq tiada pengalaman dan ilmu bagi mengendalikan sebuah kementerian.

“Pemuda UMNO Kedah juga melihat penolakan beberapa negeri dan bantahan ‘stake holder’ iaitu pertubuhan belia mengambarkan idea pindahan berhubung definasi umur belia ini dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa berunding dengan pihak berkepentingan.

“Ia seolah-olah mahu dilaksanakan dengan sebegitu pantas tanpa mendapatkan pandangan semua pihak. Secara tidak langsung, ia juga menggambarkan Menteri KBS buat kerja secara buta tuli yang mungkin kerana hendak membuktikan beliau sedang bekerja selepas menghadapi tekanan awam bila mana rakyat melihat menteri PH lebih banyak ‘tidur’ dari buat kerja,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Johan, sekiranya KBS lebih prihatin dengan mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak, sudah pasti isu penolakan ini tidak akan berlaku.

“Jadi, apa akan terjadi dengan pindaan ini sekarang? Apakah had umur belia sebenarnya? Yang mana harus digunapakai, 30 atau 40 tahun? Sekiranya umur 30 diambil pakai maka adakah mereka yang berumur lebih daripada itu telah termasuk dalam kategori warga emas dan boleh mendapat benefit untuk warga emas seperti tambang murah dan sebagainya?

“Kerajaan perlu memperjelaskan perkara ini dengan segera. Janganlah jadi seperti keluarga 69… semuanya kecar-kacir. Akibatnya, rakyat yang keliru,” tempelak beliau lagi.- MediaUMNO