Kerajaan PH Dikecam, Lantik Transgender Bertentangan Budaya Dan Perundangan Negara


KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pelantikan transgender Rania Zara Medi sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan bagi penggal 2019-2021 dikecam sekeras-kerasnya.

Wanita UMNO Malaysia melihat, pelantikan Rania ini jelas mencabar nilai moral masyarakat kerana beliau dikenali sebagai pejuang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dan gaya hidup songsang yang diamalkan golongan tersebut bertentangan dengan norma masyarakat.

Ketuanya Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata kelompok LGBT mengalami kecelaruan jantina (gender dysphoria) yang bertentangan dengan budaya dan kepercayaan majoriti yang boleh menjejaskan aturan kehidupan masyarakat.

“Pada masa yang sama, budaya songsang ini juga melanggar undang-undang negara di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.

“Ini jelas bahawa hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkannya di Malaysia.

“Maka, adakah perlantikan ini menunjukkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah mengiktiraf golongan yang secara jelas mempromosikan LGBT?” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, harus diingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh yang dipandang tinggi di mata dunia dan pelantikan golongan transgender ini bakal memberi gambaran buruk terhadap agama Islam.

“Justeru, Wanita UMNO mendesak agar pihak Kerajaan menjelaskan kepada rakyat apakah alasan mereka melantik individu duta LGBT mewakili Kementerian Kesihatan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.