Ahli Parlimen PH Perlu Bertanggungjawab Sebagai Kerajaan, Pastikan Kerangka Perundangan Disusun

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya menjadi tanggungjawab kepada kerajaan memastikan kerangka perundangan dapat disusun bagi mengatasi masalah-masalah tertentu di samping menjaga tertib sebagai ahli Parlimen.

Ini kerana, katanya antara kerangka perundangan dengan kesalahan-kesalahan dan ruang melakukan kesalahan atau individu yang melakukan kesalahan itu adalah dua perkara yang berbeza.

“Kalau sekiranya dalam sistem perundangan kita termasuk dalam hal berkaitan syarikat ada kerangka undang-undang yang mencukupi maka ia tidak bermakna kesalahan tidak boleh berlaku,” katanya yang membidas Ahli Parlimen Jelutong ekoran membangkitkan perkara berkaitan 1MDB berkali-kali dalam sidang di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, sikap pemimpin kerajaan masih lagi sama dengan telatah ketika menjadi pembangkang dahulu.

“Beliau bangkitkan perkara 1MDB berkali-kali sepertimana masih dalam pembangkang, sepatutnya dalam menjadi kerajaan dengan pengalaman yang telah mereka lalui dan perspektif yang ada pada mereka… mereka sepatutnya dalam membentangkan Rang Undang-Undang ini memasukkan apakah perkara-perkara bagi melengkapkan kerangka itu supaya masalah itu tidak berulang.

“Kita kena membezakan perilaku individu dengan soal kerangka perundangan… macam sekarang dalam soal gejala-gelaja lain selain kesalahan-kesalahan komersial dan kesalahan dalam bidang perniagaan.”

Dalam hal tersebut beliau memberikan contoh soal gejala sosial yang harus dibimbangi ekoran sekarang ini penjawat-penjawat awam, VIP, orang-orang politik kelihatan terlibat dalam kegiatan yang cukup membimbangkan.

“Persemburitan, rogol amah, menderhaka kepada sultan, meliwat, anak-anak terlibat dengan dadah… ini semua kesalahan tetapi kita kena bezakan.

“kesalahan yang dilakukan oleh individu adakah berada dalam ruang lingkup undang-undang yang mencukupi untuk diambil tindakan?

“Begitulah juga dalam soal undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan ini… kita tidak dapat nafikan akan ada kesalahan di sana-sini tetapi apakah kerangka perundangan sudah mencukupi supaya kesalahan-kesalahan yang dilakukan itu dapat melalui proses memberi penghormatan kepada ‘rule of law’.”

Tegur beliau lagi, ahli Parlimen perlu ada tertibnya dalam menyampaikan hujah dan berbahas.

“Kalau ada rompakan ada atau tidak kerangka undang-undang… kalau menyamun ada atau tidak kerangka undang-undang… sudah diambil tindakan atau belum… kalau diambil tindakan dan perkara yang itu sudah ada di mahkamah… bolehlah kita bersabar dengan biarkan mahkamah berjalan.

“Itu tertibnya kita sebagai ahli parlimen. Bukannya mengulang perkara yang sama dengan cara yang tidak meletakkan tidak setaraf dengan kita sebagai seorang ahli parlimen,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.