Turunkan Had Umur Belia: Kerajaan PH Perlu Lihat Secara Menyeluruh, Bukan Tergesa-Gesa – Shahar

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berpandangan penurunan had umur belia tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa kepada 30 tahun sebaliknya perlulah dilaksanakan secara berperingkat terlebih dahulu.

Berkongsi pandangannya menerusi Program Diskusi Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan menerusi facebook UMNO-Online di sini malam tadi, Shahar berkata ramai-rakan pimpinan belia di luar sana menyatakan kekecewaan mereka dengan usul yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen apabila menurunkan had umur belia kepada 30 tahun.

“Kita tidak menolak had umur belia diturunkan kerana kita faham keadaan hari ini adalah perlu untuk meremajakan kepimpinan belia dan kita jangan letakkan pemimpin belia itu lesu, tidak nampak satu cahaya kepimpinan menyerlah berpandukan kepada faktor umur semata-mata.

“Kita setuju diturunkan tetapi bukan kepada umur 30 tetapi mesti diturunkan kepada umur 35 tahun dahulu kerana kita tidak boleh secara tergesa-gesa dan tergopoh-gapah melihat negara luar iaitu umur mereka bawah 30 tahun golongan belia maka kita mahu mengikutnya,” katanya.

Katanya lagi yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO, paling pentingnya adalah mesti difahami untuk jangka panjang, ‘road mapnya’ bagaimana dan pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan soal berkenaan.

“Kalau kita hanya menumpukan sepenuhnya kepada umur 30 tahun dengan hanya mengatakan umur ini akhirnya dilihat sangat aktif dan kita perlu berikan peluang… sedangkan sepatutnya kita mesti melihat bagaimana stok pemimpin yang kita ada.

“Kita mesti membuat transisi bukan secara tergesa-gesa. Pertukaran itu mestilah secara licin dan lancar. Kita turunkan dulu kepada kepada 35 dan kemudian kita turunkan pula kepada 30,” tambahnya.

Tambahnya lagi kerajaan seharusnya mendengar pandangan dan lontaran pelbagai pihak tambahan pula hari ini kerajaan era Malaysia baharu.

“Kita harus berlapang dada dan mendengar daripada pelbagai pihak serta mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini. Kalau kita dah consult 20 hingga 30 orang dan akhirnya kita dapat satu command pendirian, pemahaman sekata, kita gunakanlah sebagai partner untuk kita.

“Tdak jatuh martabat sebagai seorang ketua kalau kita dengar daripada anak buah kita, daripada peringkat bawahan malah kita akan disanjungi dan dihormati sebab ini era Malaysia baharu. Era yang meletakkan slogan rakyat di depan dan kalau ini pun tidak boleh dilakukan… rakyat yang muda ini tidak merasa diri mereka dirunding dan saya takut sampai dia orang kata ‘Black 307’,” ujarnya.

Ujar beliau lagi pelbagai faktor lain juga perlu diambil kira dalam soal persatuan belia dan sepertimana yang ditekankan ianya bukanlah soal faktor umur semata-mata.

“Itu sebab kita mesti melihat secara total. Jangan tumpukan sepenuhnya keputusan berkenaan diletakkan kepada umur semata-mata. Saya nak tanya berapa banyak dana yang kementerian beri, dan saya dapat maklum dana pentadbiran tidak diberikan berbanding zaman BN dahulu. Zaman BN dahulu diperingkat negeri, daerah ada peruntukan, malah Majlis Belia Malaysia sendiri ada peruntukan yang diberikan.

“Maknanya dana pentadbiran ini… apabila saya bertanya kepada YB Menteri, tidak perlu dana pentadbiran. Nak sewa pejabat perlu sewa di bawah agensi kementerian. Saya nak bagi contoh kawasan Paya Besar, nak kena pergi ke bandar Kuantan sebab Paya Besar daerah pentadbiran Kuantan. Jangan samakan dengan kawasan parlimen tertentu. Kita perlukan dana pentadbiran ini untuk memantapkan pengurusan persatuan di pelbagai peringkat,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.