PH Didesak Untuk Segera Reformasikan DUN Johor

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Satu Memorandum telah diserahkan oleh wakil Dewan Muda Johor (DMJ) kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, semalam untuk menggesa agar DUN Johor direformasikan ekoran dilihat hambar selepas lebih satu tahun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri Johor.

KoordinatorDMJ, Ahmad Solehin Abd Ghani, berharap agar cadangan dan gesaan yang disampaikan ini akan dibawa dan diangkat oleh Pembangkang di dalam DUN Johor secara “Usul Khas” pada sidang yang akan datang.

Antara cadangan yang dicadangkan oleh DMJ untuk mereformasi DUN Johor adalah seperti berikut:

i. Melantik wakil pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC);
ii. Mewujudkan Jawatakuasa Khas Terpilih Dewan Undangan Negeri (DUN Select Committee) terutamanya DUN Selecet Committee berkaitan Bajet Johor;
iii. Mencadangkan “Live Streaming” dan “Facebook Live” untuk Persidangan DUN Johor yang akan datang;dan
iv. Meminda peraturan mesyuarat DUN Johor bagi membenarkan pembahas sama ada Menteri Besar, Barisan EXCO atau ADUN menerima soalan lisan atau celahan. Melantik Wakil Pembangkang Sebagai Pengerusi PAC

Katanya, salah satu reformasi yang dijanjikan oleh PH di dalam Manifesto mereka adalah untuk melantik Pengerusi PAC daripada wakil pembangkang sebagai ‘Semak dan imbang’ kepada pengurusan dan pembelanjaan kerajaan yang telah diluluskan oleh Parlimen atau DUN.

“Ketika PH menang di Johor, Kerajaan PH Johor telah melantik ADUN Dap sebagai Pengerusi PAC. Namun kini, Pengerusi PAC tersebut telah dilantik untuk memegang jawatan EXCO Kerajaan Negeri dan jawatan tersebut telah dikosongkan.

“Kini tiba masanya Kerajaan PH Johor memenuhi janji manifesto mereka dan mengikut teladan Parlimen Malaysia yang telah melantik wakil pembangkang daripada BN sebagai Pengerusi PAC. Wujudkan DUN Select Committee,” katanya dalam kenyataan media.

Ujarnya, tindakan Parlimen Malaysia mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas atau Parliament Select Committee (PSC) adalah suatu perkara yang harus diteladani DUN Johor.

“Antara ‘Select Committee’ (SC) yang telah ditubuhkan di Parlimen Malaysia adalah SC Menimbang Rang Undang-undang, SC Bajet, SC Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, SC Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, SC Hubungan Antara Negeri-Negeri dengan Persekutuan dan SC Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Kerajaan.

“Untuk DUN Johor, sebagai permulaan, DMJ mencadangkan untuk memulakan dengan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet. Ketika pembentangan Bajet Johor 2019, Kerajaan PH Johor dilihat tidak mempunyai idea baru, dan bertindak untuk ‘copy paste’ manifesto dan bajet kerajaan terdahulu.

“Maka SC Bajet ini yang akan dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan dan Pembangkang bertanggungjawab untuk melakukan perbincangan awal mengenai perkara-perkara yang perlu dimasukkan dan ditekankan terutama menjelang Bajet 2020 yang akan datang.”

Ujarnya, walaupun berbeza parti dan asas perjuangan, ADUN Kerajaan dan ADUN Pembangkang perlu bekerjasama atas kapasiti mereka sebagai ‘legislatif’ (pengubal undang-undang) dan wakil rakyat, demi kebaikan negeri Johor ‘Live Streaming’ Perbahasan Sidang DUN.

“Ketika pemerintahan Kerajaan terdahulu, cadangan untuk mengadakan ‘Live Streaming’ pernah dicadangkan oleh pihak pembangkang pada ketika itu namun cadangan tersebut ditolak oleh Speaker Dewan atas faktor-faktor tertentu.

“Kini DMJ percaya, di era Malaysia Baharu, cadangan tersebut perlu diangkat dan dibincangkan sekali lagi oleh DUN Johor. Rakyat Johor mempunyai hak untuk mengetahui apa yang wakil-wakil rakyat mereka perjuangkan di dalam DUN Johor.

“DMJ turut percaya bahawa ADUN-ADUN Negeri Johor bersifat matang dan mampu menjaga imej dewan negeri tersebut ketika siaran langsung DUN Johor diadakan. Membenarkan ‘Celahan’ Ketika Perbahasan Berjalan.”

Jelasnya, pada ketika ini, DUN Johor tidak membenarkan soalan lisan diberikan semasa seseorang ADUN sedang berucap.

“Soalan lisan atau ‘celahan’, jika ada, perlu ditanya selepas sesorang ADUN tersebut menghabiskan ucapan mereka. Perkara ini menyebabkan ucapan perbahasan sedikit suram dan tidak ‘lively’.

“DUN Johor adalah antara DUN yang agak ketinggalan dari segi ini. Oleh itu, Kerajaan mahupun Pembangkang perlu memperjuangkan perkara ini agar perbahasan yang akan datang akan lebih rancak, bersemangat, dan dapat memperlihatkan karisma wakil-wakil rakyat kedua-dua belah pihak.”

Selaras itu, katanya DMJ berharap agar cadangan dan desakan ini akan diperjuangkan oleh pembangkang pada sidang yang akan datang dan disambut oleh Kerajaan PH Johor dan seterusnya iltizam untuk mereformasi DUN Johor ini akan menjadi realiti. – MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit