Layak Mengundi 18 Tahun Dan Automatik Untuk Mudahkan Pelaksanaan Kelak – Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohd Said penuh yakin dan percaya pindaan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun mestilah disertakan bersama dengan kelayakan secara automatik sebagai pemilih dan calon pilihan raya bagi memudahkan pelaksanaannya kelak.

Malah menurut beliau apa yang diutarakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada asasnya dan perlu diberi perhatian dengan penelitian sepenuhnya oleh kerajaan bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Kita dah buat kenyataan bahawa kita akan menyokong sekiranya pendaftaran mengundi itu secara automatik. Kalau bukan secara automatik kita tidak akan menyokong. Kalau secara automatik ini bermakna semua rakyat warganegara 18 tahun ia berhak mengundi.

“Jadi tidak perlulah kita pergi ke sekolah dan sebagainya kerana ia kan menganggu sistem pembelajaran anak-anak kita. Ianya jelas untuk kepentingan negara dan untuk menyenangkan SPR untuk buat pendaftran mestilah secara automatik,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya lagi jika dipinda hanya sekadar kelayakan mengundi dan bukan secara automatik bukankah ia akan menimbulkan pelbagai kerumitan dan sebagainya lagi.

“Kalau tidak sepertimana saya katakan tadi, kita akan berjumpa dengan beberapa kumpulan sasar belia, pelajar tingkatan enam, kena pergi IPTA dan IPTS. Kalau secara automatik ianya hanya menerusi satu sitem dan ianya lebih memudahkan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, banyak negara-negara lain yang telah mengadakan sistem 18 tahun ke atas layak secara automatik.

“Jadi kita tidak boleh ketinggalan dengan negara-negara yang lain. Kita setuju sekiranya secara automatik,” katanya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk membentang rang undang-undang lain bagi menurunkan had umur kelayakan calon pilihan raya pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata ini kerana kerajaan memerlukan masa untuk meneliti perkara itu, terutamanya kerana melibatkan pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu beliau berkata kerajaan tidak akan memperkenalkan rang undang-undang (RUU) lain semasa persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Sebelum ini, Blok Pembangkang yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersepakat untuk mengemukakan usul persendirian bahawa rakyat yang berumur 18 tahun layak secara automatik sebagai pemilih dan calon pilihan raya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana katanya, selaras dengan hasrat pembangkang mengiktiraf sumbangan golongan muda dalam negara ini.

“Sehubungan dengan itu, ahli Parlimen dalam Blok Pembangkang akan membawa satu usul di Parlimen bagi meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan warganegara Malaysia yang cukup umur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.

“Selaras dengan itu juga, pindaan kepada Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera dalam satu sidang media di Parlimen, Rabu. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.