Pengundi Umur 18 Tahun Satu Cabaran Besar Buat Pemuda, Puteri UMNO – Dr Shamsul
LENGGONG, 7 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jika cadangan UMNO, PAS dan GPS Sarawak supaya setiap rakyat telah berumur 18 tahun didaftar secara automatik selaras penurunan umur layak mengundi maka ia akan menjadi cabaran besar buat Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
Jelas beliau jika cadangan itu diterima di Dewan Rakyat sudah pasti UMNO terutama Pemuda dan Puteri perlu merangka strategi bagaimana mahu mendekati golongan muda terutama yang masih lagi sebagai pelajar di sekolah kerana mereka adalah bakal pengundi di PRU15.
“Kita pasti tidak dibenarkan memasuki sekolah bagi melaksanakan program, sebaliknya pihak Kerajaan PH dengan mudah boleh melakukannya. Walaupun kita amat memahami tidak sepatutnya kalangan pelajar diganggu terutama berkaitan politik diusia begini. Namun apa pilihan yang ada pada kita? Semua ini memerlukan kebijaksanaan kita.
“Justeru itu dengan landskap dan situasi politik pasti akan berubah. Pimpinan UMNO terutama kalangan pimpinan muda, mesti bersedia melakukan perubahan baik dalam apa keadaan sekali pun. Jika tidak kita akan hilang sokongan daripada kumpulan ini”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Lenggong di sini, Sabtu.
Namun Dr Shamsul yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong yakin pemimpin muda dalam UMNO di semua peringkat mampu menghadapi keadaan ini jika usia mengundi di umur 18 tahun benar-benar dilaksanakan di negara ini.
“Dan kita perlu manfaatkan sosial media sebagai satu daripada pendekatannya, kerana padang permainan generasi muda di usia begini bukan lagi sebagaimana generasi muda dahulu”, ujarnya.
Beliau seterusnya menjelaskan UMNO memahami trend di kebanyakan negara seluruh dunia yang menjadikan warganegara berusia 18 tahun sebagai pengundi.
Malah katanya di Austria rakyatnya yang berusia 16 tahun sudah layak mengundi.
“Maka kita bersetuju pada prinsipnya 18 tahun mula mengundi. Bagaimanapun UMNO, PAS dan GPS Sarawak di pihak pembangkang sebagaimana yang diumumkan oleh YB Dato Seri Ismail Sabri selaku Ketua Pembangkang, akan mengemukakan RUU Persendirian supaya setiap rakyat telah berumur 18 tahun didaftar secara automatik selaras penurunan umur layak mengundi. Ini akan menyuburkan lagi amalan demokrasi di Malaysia.
“Malah pada kita bukan hanya syarat warganegara Malaysia berumur 18 tahun ini didaftar secara automatik sebagai pengundi, UMNO juga mahu pindaan perlembagaan dibuat agar had umur kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun”, katanya.
Dengan Cadangan ini tegas beliau menunjukkan cadangan UMNO, PAS dan GPS Sarawak lebih mesra kepada generasi muda Malaysia berbanding cadangan Kerajaan PH. -MediaUMNO