Bubarkan PPBM Dan Amanah, Bukannya UMNO Parti Terbesar Melayu – Ahmad Zahid

TAMBUN, 7 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan pelawaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menawarkan UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, kenyataan yang diberikan untuk memperkukuh dan memperkasakan Melayu kerana kuasa orang Melayu terhakis ekoran berpecah-belah hanya alasan kerana perpecahan yang wujud berpunca dari parti PPBM dan Amanah.

“Tun yang seharusnya membubarkan parti PPBM dan bukannya membubarkan UMNO, kerana UMNO adalah sebuah parti yang besar khususnya untuk orang Melayu maka bubarkan saja PPBM dan Amanah.”

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, UMNO menolak kerjasama dengan mana-mana parti yang mengenepikan Islam.

“Kita akan menolak mana-mana parti yang mengadakan kolaborasi dengan parti yang mengenepikan orang Islam dan mahu melaksanakan Malaysian Malaysia.

“Pendirian UMNO tidak pernah berubah dan tidak akan menyertai PPBM. Ada kaedah lain ahli UMNO bersama parti, insya-Allah….” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tambun, hari ini.

Mengenai menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, katanya, sekiranya terjadi, UMNO akan menetapkan syarat dan berharap ia akan diterima oleh kerajaan.

“Minggu hadapan akan diadakan perbahasan di Parlimen, pihak kerajaan memerlukan bantuan dari pembangkang untuk pindaan tersebut. Pendirian kami amat jelas iaitu golongan 18 tahun ini mesti didaftarkan secara automatik.

“Masa pemerintahan BN, kita menetapkan usia 21 tahun boleh mengundi kerana diukur kematangan namun dengan sistem pendidikan dan sosial kini, usia 18 tahun telah pun dikira matang.”

Tambahnya lagi, terdapat banyak negara yang telah menurunkan had umur mengundi termasuk Indonesia yang mana kelayakan mengundi pada usia 17 tahun.

Sekiranya had umur 18 ini dipinda, maka mereka yang berusia 18 tahun sudah boleh menjadi calon pilihan raya mengikut kehendak parti masing-masing, ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.