Teresa Kok Jangan Jadi Pengecut, Jadikan Anak Sekolah Mangsa Tutup Kegagalan Isu Sawit

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang dianggap sempit dan terkebelakang ekoran menyelar sebuah sekolah antarabangsa kerana pelajarnya dianggap menyebarkan propaganda anti penggunaan kelapa sawit.

“Jangan jadi pengecut dengan memangsakan anak-anak sekolah atas kegagalan anda menawan hati komuniti antarabangsa berkenaan isu kelapa sawit yang berbangkit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Teresa Kok telah menyelar sebuah sekolah antarabangsa kerana persembahan para pelajarnya dianggap menyebarkan propaganda anti penggunaan kelapa sawit. Beliau berpendapat bahawa persembahan yang mengaitkan kelapa sawit dengan penebangan hutan dan kepupusan orang hutan sebagai bertentangan dengan kepentingan nasional.

Pada hari berikutnya, keluar pula kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan yang berkata siasatan dan tindakan akan diambil terhadap sekolah terbabit.

Saya menyelar pemikiran sempit dan terkebelakang sebegini.

Pertama anak-anak sekolah tidak harus disekat untuk berfikir dengan kritikal.

Mereka harus digalakkan untuk memberikan pandangan dan menyatakan pendirian. Sama ada anda bersetuju dengan hujah dan buah fikiran mereka atau tidak, tanggungjawab anda ialah memberikan ruang dan menghormati hak mereka untuk bersuara.

Jika anda tidak bersetuju, maka kemukakan hujahan balas. Mereka bukannya golongan yang akan tersinggung atau memberontak secara membuta tuli. Sudah pasti mereka sebenarnya memahami bahawa pandangan dan pendirian adalah perkara yang boleh berbeza.

Kedua, anak-anak, sama ada di sekolah antarabangsa mahupun sekolah Kerajaan, tidak mengerti istilah ‘bertentangan kepentingan nasional’.

Mereka adalah anak-anak yang penuh dengan rasa ingin tahu. Keterujaan mereka dalam meneroka ilmu dan perkara baharu adalah sesuatu yang bersifat fitrah. Mereka mempunyai seribu satu persoalan dalam pemikiran mereka. Malah, mereka naif dalam melalui proses pembelajaran. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memimpin mereka sepanjang proses tersebut.

Yang pasti, adalah tidak matang dan tidak wajar untuk memberikan mereka dengan label-label yang tidak sesuai. Apatah lagi apabila mereka dianggap tidak ubah seperti seteru politik.

Tindakan sedemikian bukan sahaja jelik, tetapi anti akal. Biarkan mereka mengekspresi pendapat secara bebas dan kreatif.

Ketiga, jangan lepaskan kekecewaan dan kegagalan Menteri di sekolah.

YB Teresa jangan sesekali membawa kegagalannya dalam meyakinkan masyarakat dunia tentang mutu, khasiat dan kepentingan kelapa sawit sebagai komoditi ke sekolah dan memangsakan anak-anak di persadanya.

Kegagalan anda mengubah persepsi negatif terhadap kelapa sawit dan hasilnya, adalah masalah dan kegagalan anda sebagai Menteri. Jangan kategorikan persembahan anak-anak sekolah sebagai mempersendakan kepentingan nasional, hanya kerana mereka mengekspresikan pendapat melalui sebuah ‘school performance’.

Keempat, serangan Dap ke atas sistem pendidikan memakan diri.

Dap adalah pengkritik utama sistem pendidikan nasional di tanahair ini. Berpuluh-pupuh tahun, tiada perkara baik yang mereka utarakan tentang pendidikan nasional. Mereka lontarkan ungkapan demi ungkapan untuk menggambarkan kegagalan sistem persekolahan kita. Tidak kritislah, tidak mampu berfikirlah, tidak mahir berbahasalah, tidak kreatif dan pelbagai lagi.

Murid tidak bebas berfikir, guru terlalu mengongkong dan pelbagai lagi kecaman mereka berikan kepada anak-anak sekolah.

Nah, bila anak-anak di sekolah antarabangsa berani bersuara untuk menunjukkan perspektif yang berlainan, yang kritikal dan berbeza dengan naratif dasar anda, mereka dilabelkan pula sebagai anti kepentingan nasional.

Medan Teresa Kok untuk mempromosikan kempen kelapa sawit bukanlah di sekolah sekolah. Medan sebenar beliau ialah di Parlimen Eropah, di Kongres Amerika dan di Parlimen United Kingdom.

Berhadapanlah dengan mereka yang terang-terangan mencabar anda dan dasar nasional. Berdebatlah dengan orang dewasa dan para pembuat dasar dari luar. Itu lawan sebenar anda.

Bukan anak-anak di sekolah. Anda pasti tidak suka dilabel kebudak-budakan, walaupun apa yang anda lakukan tersebut sangat cocok dengan gelaran tersebut.

Jangan jadi pengecut dengan memangsakan anak-anak sekolah atas kegagalan anda menawan hati komuniti antarabangsa berkenaan isu kelapa sawit yang berbangkit.

Saya gesa YB Teresa dan Kementerian Pendidikan agar tidak mencampur adukkan urusan sekolah dan menyekat kebebasan berfikir anak-anak kita.

Di sekolah mana sekalipun, kita mesti mempunyai kematangan dan kesediaan untuk meraikan idea dan pemikiran anak-anak pelajar. Jangan ambil pergi zaman kanak-kanak mereka demi menutup ketidakcekapan anda sebagai orang dewasa. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.