Turun Had Kelayakan Mengundi, Pembangkang Sokong Jika Pendaftaran Automatik – Khairy

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa pendirian pembangkang akan menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mencadangkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun sekiranya ia dilaksanakan sekali dengan pendaftaran secara automatik.

“Setahu saya pindaan Perlembagaan hanya melibatkan had umur. Tidak disebutkan pendaftaran automatik. Jadi soal pendaftaran automatik itu kita kena tunggu keputusan daripada kerajaan sebab kalau pendaftaran automatik mesti juga dibuat pindaan Perlembagaan.

“Sepatutnya pindaan itu datang… iaitu dua-dua datang sekali. Maksudnya kita pinda Perlembagaan untuk turunkan had umur dan juga pendaftaran secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini mengulas berkaitan RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang dibentang oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Tetapi memandangkan hanya satu sahaja pada dasarnya kita setuju untuk turunkan kepada umur 18 tahun. Cuma keputusan muktamad akan dibuat oleh kepimpinan pembangkang nanti sama ada kita sokong untuk dibuat secara berasingan atau pun tidak,” katanya.

Dilaporkan, cadangan kerajaan yang hanya untuk menurunkan had umur sedia ada daripada 21 ke 18 tahun tanpa daftar automatik dan tanpa mengubah kelayakan menjadi calon.

“Soal pengundian yang had kelayakannya yang akan diturunkan kepada umur 18 tahun tidak akan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Ini kerana beliau percaya orang muda di negara ini akan mengambil sikap tunggu dan lihat siapakah yang dapat memberikan satu hala tuju yang lebih baik kepada mereka dan tidak timbul ianya memberi kelebihan kepada satu pihak atau pihak lain sahaja. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.