Had Umur Mengundi 18 Tahun Bukan Untuk Kepentingan Mana-Mana Pihak, Tapi Untuk Negara

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menekankan bahawa cadangan untuk rakyat yang berumur 18 tahun layak secara automatik sebagai pemilih dan calon pilihan raya bukan untuk kepentingan mana-mana pihak khususnya mana-mana parti politik tetapi ia adalah untuk kepentingan nasional.

Katanya, cadangan ini dibuat bagi melibatkan lebih ramai rakyat dalam negara ini mempunyai hak memilih.

“Kebanyakan negara termasuk ada negara-negara di ASEAN sendiri yang telah menurunkan umur kelayakan mengundi mereka kepada 18 tahun malah ada yang 16 tahun,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Blok Pembangkang yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersepakat untuk mengemukakan usul persendirian bahawa rakyat yang berumur 18 tahun layak secara automatik sebagai pemilih dan calon pilihan raya.

“Umur ini bukanlah isu yang perlu diambil kira kerana sampai sekarang pun ada mereka yang layak mengundi tapi tak berdaftar sebagai pengundi, pun ada yang berdaftar tapi tak keluar mengundi.

“Isunya bukan siapa yang layak, siapa yang berdaftar tapi juga mereka yang keluar mengundi.

“Kita sokong cadangan kerajaan untuk turunkan had umur mengundi tetapi kita nak buat secara automatik… kebanyakan mereka ini adalah pelajar kerana umur dalam 18 tahun sekitar tingkatan enam atau pelajar kolej.

Jelas beliau, barisan pembangkang bersetuju untuk had umur 18 tahun sebagai pengundi dan berharap agar pihak kerajaan turut bersetuju agar ia dibuat secara automatik tanpa perlu berdaftar.

Semalam, ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan bahawa Blok Pembangkang akan membawa satu usul di Parlimen bagi meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan warganegara Malaysia yang cukup umur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.

Selaras dengan itu juga, pindaan kepada Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun. Ini berbeza dengan pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan PH iaitu hanya 18 tahun tetapi masih perlu mendaftar sebagai pemilih dan tanpa mengubah kelayakan menjadi calon. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.