Blok Pembangkang Cadang Rakyat 18 Tahun Layak Secara Automatik Sebagai Pemilih, Calon Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Blok Pembangkang yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersepakat untuk mengemukakan usul persendirian bahawa rakyat yang berumur 18 tahun layak secara automatik sebagai pemilih dan calon pilihan raya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana katanya, selaras dengan hasrat pembangkang mengiktiraf sumbangan golongan muda dalam negara ini.

“Sehubungan dengan itu, ahli Parlimen dalam Blok Pembangkang akan membawa satu usul di Parlimen bagi meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan warganegara Malaysia yang cukup umur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.

“Selaras dengan itu juga, pindaan kepada Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera dalam satu sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Kota Bharu.

Jelas Naib Presiden UMNO itu lagi, ini berbeza dengan pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu hanya 18 tahun tetapi masih perlu mendaftar sebagai pemilih.

“Ini jelas dalam Perlembagaan tetapi kita apabila sampai umur 18 tahun terdaftar secara automatik sebagai pemilih.

“Kita akan bentangkan usul persendirian di dalam Parlimen dalam waktu yang terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail tegas berkata cadangan kerajaan yang hanya menurunkan had umur sedia ada daripada 21 ke 18 tahun tanpa daftar automatik dan tanpa mengubah kelayakan menjadi calon ditolak oleh Blok Pembangkang kecuali selepas ini kerajaan membuat pindaan sebagaimana kehendak pembangkang.

“Hak mengundi adalah semua rakyat, (daftar automatik) beri peluang kepada semua rakyat untuk mengundi.

“Kalau sekarang ini ada yang tidak mahu mendaftar, ada yang tidak mahu menggunakan hak dia sebagai pengundi… tapi dengan terdaftar ini semua orang berhak menggunakan hak dia.

“Dan satu lagi ada juga kekangan untuk pergi mendaftar misalnya tinggal jauh di pedalaman seperti di Sarawak, GPS membangkit isu masalah dari segi pendaftaran.. sedangkan dari segi Perlembagaan mereka ada hak untuk mengundi,” ujarnya lagi.

Dalam taklimat bersama menteri mengenai perkara berkaitan, Ismail mendedahkan pihak kerajaan masih tidak bersetuju daftar secara automatik.

Dalam sidang media yang sama Tuan Ibrahim turut menyatakan bahawa isu sebenar yang harus diberi perhatian oleh kerajaan ialah hampir empat juta pengundi yang layak mengundi tetapi tidak berdaftar sebagai pengundi.

“Kerajaan kena selesaikan yang itu dahulu. Cara penyelesaian bagi kami ialah daftar automatik.

“Kalau kita tambah yang 18 tahun (layak mengundi) ia akan menambah lagi yang empat juta jumlah rakyat yang tidak mendaftar sebagai pengundi, tidak tercapai maksud menggalakkan kesedaran politik di kalangan rakyat,” terangnya. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.