Ahmad Zahid Kembali Bertugas, Pimpinan Parti Kerja Seperti Adik-Beradik – Annuar

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjalankan tugasnya semula bukanlah membawa erti timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) tidak mempunyai peranan sebaliknya berjalan seperti biasa.

Menurut beliau apa yang penting hari ini perjalanan parti diuruskan secara bersama dan masing-masing bekerja seperti adik-beradik dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab bagi membawa UMNO terus bergerak ke depan.

“Tok Mat masih berperanan macam biasa dan kalau kita tengok dalam UMNO sekarang Datuk Zahid sebagai Presiden, Tok Mat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan. Perjalanan parti secara umumnya Tok Mat.

“Naib-naib Presiden ada peranan masing-masing. Walaupun beliau balik sambung tugas, Datuk Seri Ismail Sabri ‘handle’ Parlimen jadi Ketua Pembangkang. Pengurusan Tok Mat, ‘carry On’… Tok Det jadi Ketua Whip pada hal boleh sahaja beri kepada Datuk Ismail Sabri. Datuk Khaled Nordin Sekretariat Kerjasama UMNO-PAS. Jadi kita kerja macam adik beradik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan secara langsung melalui medium Facebook UMNO-Online, malam tadi. .

Kata Annuar yang juga Ahli parlimen Ketereh, kepulangan Datuk Zahid memberi tenaga dan nafas baru sepertimana perumpamaan ‘daripada sembilan baik sepuluh, daripada satu baik dua, daripada tiga baik empat’.

“Daripada tidak ada Presiden baik ada Presiden. Jadi Tok Mat pun ringan sebab kalau hari itu beliau kena memikul seorang, sekarang ini dipikul bersama Datuk Zahid. Jadi kalau kita tengok daripada sudut positif begitu, kita pandang ke depan dan kita sama-sama buat kerja.

“Keutamaan kita menyusun kewangan, pelaburan kita, menyusun struktur parti kita, menyusun hal ehwal pentadbiran kita, menyusun Perlembagaan kita, menyusun ‘coalition-coalition’ baru kita, banyak kerja parti dan ini lebih penting. Bukan terus fikir Datuk Zahid kerana ada 87 pertuduhan maka beliau adalah orang yang salah… bicara pun belum lagi namun kita dah jatuh hukum,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut melontarkan peringatan untuk sama-sama dihayati oleh seluruh ahli parti iaitu yang pertama membina ketahanan diri kerana sebagai pejuang ianya memerlukan ketahanan yang kuat.

“Kalau kita seorang pengikut biasa nak cari projek, nak cari pangkat, nak jadi wakil rakyat dan sebagainya dan kalau itu sahaja kita maka ketahanan diri tidak ada. Jadi tanya diri anda kalau anda mahu menjadi sebahagian daripada pejuang bina ketahanan diri dan jangan mudah goyah.

“Saya tengok banyak orang kita puji sebagai menteri, puji sebagai orang baik, jujur dan ikhlas tapi bila hilang kuasa terus lompat. Kadang-kadang terfikir dimana silapnya penilaian kita selama ini,” ujarnya.

Seterusnya ujar beliau lagi, perlu diingat politik ini perjalanannya panjang dan oleh kerana itu jangan kejar rampasan perang yang pendek dan yang sedikit, malah perkara tersebut ditunjukkan iktibarnya dalam peperangan Uhud ketika zaman Rasullullah SAW.

“Jadi jangan mengejar benda yang sedikit kerana kita tahu sebagai pejuang kita mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan ini yang harus kita ingat. Ketiganya kita hanya akan menjadi kuat kalau kita bersama.

“Islam pun mengajar begitu dan dalam bahasa Melayu pun banyak perumpamaan-perumpamaan seperti hidup sandar menyandar, bagai aur dengan tebing, jangan jadi macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, air dicincang tidak akan putus dan banyak lagi. Dalam al-Quran pun begitu… jadi pegang kepada prinsip-prinsip tersebut,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.