Kerajaan PH Gagal Tadbir Urus Negara Dengan Baik – Tok Mat


SEPANG, 1 Julai – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguruskan negara makin terserlah setelah melihat kepada apa yang berlaku hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelbagai perkara pelik dan kadangkala kecelaruan dasar-dasar yang diutarakan termasuklah dalam soal harga sawit baru-baru ini telah membuktikan bahawa PH gagal mentadbir dengan baik.

“Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang gagal untuk mentadbir negara kita. Saya katakan kerajaan yang tidak boleh mentadbir negara… entah apa yang dibuatnya. Mereka boleh cakap supaya harga minyak sawit terus bertahan maka setiap rakyat minum minyak kelapa sawit satu sudu sehari. Macam-macamlah. Makin mereka bercakap makin kita pening kepala. Banyak lagi benda lain yang boleh dibuat tetapi kereta terbang yang mahu dibuatnya,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Sepang, di sini, Ahad.

Justeru katanya semua pihak tidak perlu pening kepala kerana UMNO dan rakan-rakan yang lain sama-sama menyusun strategi terbaik dalam usaha untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat sememangnya dah menyampah dan memang banyak yang telah menyesal. Kakitangan awam samalah… patut dapat kenaikan bulan tujuh tapi menjadi sebaliknya. Banyak yang pening kepala… kehilangan pekerjaaan dan syarikat pula ada yang tutup dan makin lama makin banyak industri gulung tikar.

“Ekonomi tidak ada hala tuju dan keadaan kita hari ini teruk… saya risau. Hutang bertambah banyak. Dulu Barisan Nasional (BN) mentadbir 61 tahun hutang rasmi kita RM686 bilion tapi mereka hanya baru setahun dah tambah RM110 bilion. Hutang rasmi sekarang RM789 bilion sedangkan baru setahun. Pinjam-pinjam juga tetapi duit Petronas RM82 bilion ambil dan projek besar-besar dibatalkan. Mana diletakkan duit itu. Bajet defisit besar…,” ujarnya.

Ujar beliau lagi kepercayaan dan keyakinan pasaran modal dan pasaran kewangan juga tidak ada lagi di negara kita manakala Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang paling teruk di Asia.

“Semua negara mencatatkan keuntungan, kita pula rugi. Semua buat u-turn… sedangkan dalam keadaan tertentu apabila tidak ada pelaburan daripada luar negara kerajaan mesti mengambil alih sebagai ‘pilot diver’ kepada ekonomi. Itu penting dan kalau kerajaan ‘cuci tangan’ batalkan pula projek-projek dalaman tidak ada pelaburan daripada luar negara, negara akan jatuh bankrap. Tidak ada duit,” tambahnya.

Tambahan pula tegasnya, PH batalkan GST dan tiga bulan ketiadaan cukai manakala SST bayar hujung tahun.

“Memang negara kita sekarang menghadapi masalah kritikal aliran tunai. Inilah akibatnya orang yang tidak tahu mengurus… tidak tahu mahu buat apa dan masing-masing cakap itu dan ini.

“Dulu cakap handal sekarang sebaliknya pula. Dulu asyik mengkritik sahaja dan tidak ada hala tuju. Sekarang cakaplah… Tidak bersedia untuk memegang jawatan dan apabila diberikan jawatan tidak tahu pula nak buat apa,” bidas beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. – MediaUMNO