Buktikan Dahulu Dana RM270 Juta Dari 1MDB

BUKIT GANTANG 30 Jun – Kerajaan perlu membuktikan dana RM270 juta yang didakwa dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bersumberkan dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu seharusnya dibuktikan terlebih dahulu selari dengan prinsip ‘rule of law’ sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden.

“Kalau tidak dibuktikan, macam mana boleh buat perlucutan hak sivil melainkan ini adalah satu lagi ‘political window dressing’, maknanya hanya mahu mensensasikan berkaitan dengan penerima-penerimanya bahawa ini adalah duit daripada 1MDB.

“Kalaulah ditakdirkan duit itu bukan sumbernya dari 1MDB, apakah duit itu bukan halal? Jadi, buktikan yang itu dulu kerana kes Datuk Seri Najib berkaitan 1MDB pun tidak mula lagi, yang bermula adalah kes SRC International Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan UMNO Bukit Gantang di sini hari ini.

Hadir sama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar; Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd. Ariff Abdul Majid dan Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Reezal Merican diminta mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang bertindak cuba mengharamkan UMNO apabila menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan terhadap parti itu setelah mengaitkannya dengan penyelewangan dana 1MDB.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, adalah penting untuk dakwaan tersebut disahkan dahulu ekoran tidak masuk akal apabila sabitan sesuatu kes dilakukan tanpa perkara pokoknya ditentukan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, beliau merasakan tindakan itu merupakan suatu gerakan taktikal yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Sebabnya kalau benda itu dipulangkan semula (akaun UMNO yang dibekukan), ia seakan-akan memberi pengiktirafan bahawa memang tiada kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit