Pindaan Perlembagaan UMNO Bukan Dibuat Untuk Singkir Sesiapa

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Proses cadangan pindaan Perlembagaan UMNO bukan dibuat untuk menyingkir atau menjatuhkan mana-mana pemimpin seperti dakwaan sesetengah pihak, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, cadangan pindaan itu adalah bertujuan untuk membuka UMNO seluas-luasnya terutama kepada anak-anak muda yang berminat menjadi ahli parti kerana proses sedia ada menyukarkan mereka memohon menjadi ahli tetap.

Beliau berkata, bagi mana-mana pemimpin yang sedang berdepan proses perundangan, UMNO tidak akan mendahului mahkamah untuk membuat sebarang keputusan.

“Dalam syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga sudah jelas bahawa mereka yang dijatuhi hukuman tidak boleh memegang jawatan atau bertanding, jadi sudah jelas di situ UMNO tidak perlu buat apa-apa pindaan, UMNO akan ikut peraturan ROS juga.

“Jadi, tidak timbul soal kita nak gugurkan mana-mana pemimpin, tidak timbul soal kita nak singkir orang itu dan ini, kita tidak ada mana-mana kem, kita hanya ada satu kem…iaitu kem UMNO, kita perlu terus berusaha perkasakan parti kita,” katanya selepas merasmika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Mohamad berkata, ramai anak muda dan pelbagai pihak mahu membantu UMNO dan atas sebab itu juga cadangan pindaan perlembagaan yang dibuat adalah untuk membolehkan mereka mendaftar secara dalam talian sekali gus ia memudahkan proses mencari ahli baharu.

Tambahnya, pada masa sekarang, jika mahu menjadi ahli UMNO perlu mendapat kelulusan Ketua Cawangan dan dengan menerusi cadangan pindaan itu mereka hanya perlu isu borang dalam talian dan boleh memilih cawangan atau bahagian mana yang mahu disertai.

“Ramai anak muda yang nak menceburi bidang politik, tapi susah sangat nak jadi ahli UMNO, ada sampai tiga kali isi borang pun tak dapat jadi ahli kerana minta maaf cakaplah ada Ketua Cawangan yang takut anak-anak muda yang berkelayakan…jangan takut ini proses yang natural.

“Dan kita akan mendengar pendapat daripada semua negeri, kita bentang dan bincangkan. Proses itu baru sahaja pertengahan jalan, semua itu akan dibawa ke peringkat cawangan dan bahagian sebelum Majlis Tertinggi bawa ke mesyuarat agung nanti…kalau setuju…setujulah, kalau tidak setuju…tidak setujulah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.