Kelemahan Lim Guan Eng Merosakkan Petronas – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 28 Jun – UMNO meminta Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memelihara keutuhan Petronas kerana ia adalah entiti milik rakyat dan negara yang sangat penting kepada masa depan negara ini.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, rakyat tidak mahu, Petronas yang dibangunkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama musnah oleh kerana ketidakcekapan PH mengendalikannya.

“Kerajaan BN mewariskan Petronas dalam keadaan yang baik kepada Kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan media.

Jelas beliau, fakta menunjukkan RM170 bilion dalam rizab tunai Petronas ditinggalkan oleh BN tapi malangnya sebaik Kerajaan PH berkuasa, Lim Guan Eng (LGE) terus sahaja mengambil RM82 bilion wang Petronas, tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada Petronas.

“Ditambah dengan polisi Kerajaan PH yang meningkatkan tahap kebergantungannya pada hasil minyak Petronas.”

Kenyataannya, kata beliau bahawa sewaktu BN agensi milik kerajaan yang sangat penting ini cukup baik dan diperakui oleh pelbagai badan penarafan antarabangsa umpama Moody’s serta pelbagai pihak lain. Moody’s meletakkan Petronas di penarafan A1 sewaktu kerajaan BN memerintah sehingga Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) penarafan itu dikekalkan.

“Namun, pada November 2018, bibit-bibit kerosakan Petronas bermula apabila, Moody’s mengekalkan penarafan A1 itu tetapi prospek diturunkan dari stabil ke negatif.

“Bukan itu sahaja, pada 21 Jun yang lalu, Moody’s telah menurunkan penarafan dari A1 kepada A2 buat syarikat cari gali ini. Ini menunjukkan betapa lemahnya pimpinan Kerajaan PH terutama Menteri Kewangan dalam menjaga entiti penting milik negara.

“Apakah LGE atau penasihat ekonominya, iaitu Tony Pua tidak boleh menjangkakan apabila penarafan kredit Petronas diturunkan, akan menyebabkan kos pinjaman untuk Petronas akan meningkat?” soal beliau.

Malah katanya, ia juga menyebabkan berlaku peningkatan kepada kos pinjaman kerajaan.

“Keadaan akan lebih menyulitkan apabila menyukarkan Petronas bersaing serta meluaskan perniagaan mereka. Kemudian bagaimana pula keadaannya apabila suatu hari nanti rizab petroleum milik negara sudah tiada lagi?

“LGE sebagai Menteri Kewangan dan Kerajaan PH patut memikirkan semua risiko ini.

“Rekod membuktikan Petronas menjadi entiti utama Kerajaan PH yang sangat bernilai.”

Bidas beliau, kerajaan PH tidaklah boleh menjarah segalanya dari Petronas tanpa memberikan Petronas bernafas dengan baik sebagaimana di bawah kendalian Kerajaan BN.

“Hakikatnya LGE lemah dalam menguruskan ekonomi negara ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.