Tanah Runtuh Lagi…. Kerajaan Negeri P. Pinang Perlu Bertanggungjawab


NIBONG TEBAL, 27 Jun – Lagi Tanah runtuh di Pulau Pinang….

Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail mendesak agar Kerajaan negeri bertindak tegas bagi menangani isu tanah runtuh di negeri ini memandangkan ia bukan kejadian yang pertama.

Jelas beliau, sejak zaman Lim Guan Eng (menjadi Ketua Menteri) lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah memperjuangkan isu ini namun sehingga kini tidak ada tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri.

“UMNO dan BN telah berkali-kali mendesak dan mengingatkan kerajaan negeri untuk mematuhi SOP bagi membina bangunan dan penarahan bukit. Kes tanah runtuh dan melibatkan kematian ini bukan kali pertama.

“Tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah pada 21 Oktober 2017 yang mengorbankan 11 nyawa masih segar dalam ingatan malah sehingga kini status siasatan tidak didedahkan. Kini berlaku lagi tanah runtuh dan meragut nyawa.

“Persoalannya, adakah syarikat terbabit mendapat kelulusan agensi terbabit dan apakah tindakan kerajaan? Adakah akan terus membisu seperti kes-kes sebelum ini?” soal beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, beliau mendesak agar kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas agar kejadian buruk seperti ini tidak berulang.

“Kami berharap tidak akan ada ‘double-standard’ dalam siasatan yang dilakukan. Ianya mestilah telus dan adil,” tegas beliau.

Beliau mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di tapak kerja pembinaan tembok penahan di Lost Paradise Hotel, Jalan Batu Ferringhi pukul 9.25 malam Selasa lalu yang mengorbankan empat warga Myanmar.

Untuk rekod, 19 Oktober tahun lalu, tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus runtuh dan mengorbankan sembilan orang manakala empat lagi cedera dan turut sama tertimbus 13 kontena dan sebuah rumah kongsi.

Insiden tanah runtuh di Paya Terubong itu merupakan kejadian kedua seumpamanya berlaku di Pulau Pinang selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun sebelum itu yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.