Menteri Agama Malaysia Jadi Menteri Propaganda China?

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pemuda UMNO mempersoalkan tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menggelarkan pusat tahanan etnik Uighyur di Wilayah Xinjiang, China dengan nama ‘pusat latihan dan vokasional’, iaitu nama yang telah digunakan oleh kerajaan China bagi menunjukkan bahawa tempat tersebut bukanlah suatu pusat tahanan.

Tegas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan, hakikatnya, pusat tahanan tersebut dikatakan oleh media antarabangsa sebagai ‘penjara terbesar di dunia’.

“Yang mana etnik Uighyur yang beragama Islam dilaporkan dipaksa untuk meninggalkan amalan agama Islam dan menerima komunisme yang menolak amalan beragama.

“Tambahan pula, undang-undang di China juga melarang apa-apa aktiviti agama di mana-mana tempat awam milik kerajaan terutamanya sekolah.

“Secara langsung membuktikan mereka yang ditempatkan di pusat tahanan ini tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti agama mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, membidas satu ‘posting’ di Facebook milik Dr Mujahid yang menunjukkan gambar-gambar lawatan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu ke pusat tersebut.

Tambah Shahril, juga timbul persoalan adakah ‘post’ yang dibuat oleh Dr. Mujahid itu menjadi satu signal bahawa Malaysia telah mengiktiraf pusat tahanan tersebut sebagai satu pusat pendidikan.

“Adakah desakan yang pernah dibuat sebelum ini sama ada secara rasmi atau tidak rasmi akan ditarik balik susulan ‘pengiktirafan’ yang dibuat oleh Dr. Mujahid ini?

“Semua pihak termasuk PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menyatakan perkara yang melibatkan etnik Uighyur ini adalah penindasan hak asasi manusia.

“China dilihat agak tersisih dalam hal ini, sampailah datangnya kenyataan dari Menteri Malaysia ini. Kita pun tidak pasti sama ada beliau Menteri Agama atau Menteri Propaganda China,” tegasnya. – Media UMNO