Ambil Alih Lebuh Raya, Menteri Kewangan Hina Intelektual Rakyat


KUALA LUMPUR, 27 Jun – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih empat buah lebuh raya dalam Lembah Klang kerana bukan sahaja lebih menimbulkan kekeliruan sebaliknya dilihat cuba menghina intelektual rakyat.

Sebelum ini terangnya, Guan Eng telah menyatakan kerajaan menawarkan sejumlah RM6.2 bilion kepada syarikat konsesi lebuh raya LDP, SPRINT, KESAS dan SMART yang mana selepas pengambilalihan ini, bayaran tol akan digantikan dengan bayaran caj kesesakan.

“Walaubagaimanapun, timbul persoalan selepas siaran media Guan Eng apabila dengan jelas menyatakan apabila bayaran RM6.2 bilion ini dibuat, tempoh konsesi lebuh raya yang terlibat tidak akan dilanjutkan tetapi akan tamat seperti perjanjian konsesi sedia ada.

“Dengan kata lain, bayaran RM6.2 bilion bukanlah untuk mengambil alih lebuh raya ini sebaliknya hanyalah bersifat pampasan kepada syarikat konsesi bagi membolehkan bayaran tol dikurangkan pada waktu luar puncak dan percuma pada waktu bukan puncak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah menghairankan jelas Shahril lagi, Guan Eng turut menyatakan ‘caj kesesakan’ yang kononnya akan menggantikan bayaran tol ini akan diteruskan selepas konsesi lebuh raya ini tamat mengikut perjanjian sedia ada kelak.

“Kita tidak menafikan kemungkinan bayaran yang akan ditanggung oleh rakyat akan berkurangan selepas ini.

“Tetapi yang mengejutkan, mengapa ‘caj kesesakan’ ini akan diteruskan walaupun selepas perjanjian konsesi tamat?

“Bukankah sepatutnya tiada apa-apa lagi bayaran yang akan dikenakan kepada rakyat selepas tempoh tersebut?” soalnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.