Lucut Hak: UMNO Lebih Rela Berserah Kepada Pengadilan Mahkamah Secara Telus Dan Terbuka – Shahrir


KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad tidak hairan apabila kenyataan Ketua Persuruhjaya SPRM yang baru, Latheefa Koya disambut segera oleh ketua-ketua sayap pemuda PKR dan PPBM sedangkan dahulu ketika Datuk Seri Mohd Shukri Abdul membuat kenyataan tidaklah ada reaksi ghairah dan segera oleh parti-parti politik pemerintah sebegini.

Dilaporkan, minggu lepas, Latheefa telah mengumumkan nama-nama 41 individu, syarikat, yayasan, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang akan dikenakan ‘civil forfeiture’ atau lucut hak terhadap wang dalam akaun-akaun berkenaan yang bermakna dari 408 dah tinggal 41 akaun yang akan dikenakan tindakan yang memberi kuasa kepada SPRM diatas syak yang munasabah.

“Mungkin kerana Shukri seorang penjawat awam dan Latheefa seorang bekas pemimpin PKR dan fakta ini mungkin yang membawa reaksi yang berbeza ini.

“Seharusnya Akmal Nasir selaku Ketua AMK PKR berhati-hati sedikit dalam menyambut pengumuman Latheefa kerana umum mengetahui adanya hubungan politik di antaranya dengan Latheefa dalam PKR satu masa dulu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi facebook beliau.

Namun katanya, beliau faham kerana dalam keadaan Timbalan Presiden PKR berdepan dengan kontroversi video di bilik Hotel Sandakan dan adanya seorang Ketua AMK bahagian mengaku bahawa dia bersama Azmin Ali dalam video itu, tidak menghairankanlah apabila Ketua AMK PKR menyarankan sebagai keutumaan supaya pilihan sukarela (seperti dilakukan DiCaprio dan Miranda Kerr di Amerika Syarikat) juga menjadi pilihan UMNO.

“Timbalan Presiden PKR juga tidak mahu memilih proses undang-undang untuk menyelesaikan kontroversi video itu. Walaupun dicabar oleh Haziq yang sudah mengaku penglibatannya dan mendakwa Azmin sebagai pasangannya.

“Ketua AMK PKR seperti bossnya juga tidak terlalu gemar kepada proses undang-undang yang menjadi pilihan UMNO apabila berdepan dengan tindakan SPRM.

“Betullah timbalan presidennya pun berhak kalau tak mahu kepada proses undang-undang untuk membersihkan namanya dari tuduhan Haziq. Lagipun PM PH dan PKR sendiri mampu membersihkan namanya secara politik.”

Ujar beliau, bagi yang 41 ini, terutamanya UMNO, mereka lebih rela berserah kepada pengadilan oleh mahkamah, iaitu secara telus dan terbuka.

“Ia tentunya lebih bermaruah dari pembersihan secara politik kerana pemulihan imej UMNO mengharuskan pemimpin-pemimpin parti itu menghormati proses undang-undang. Apatah lagi, sistem perundangan negara telah dibina semasa pemerintahan UMNO dan BN semenjak merdeka lagi.

“PKR boleh memilih cara politik dan di luar undang-undang kerana ia parti pemerintah. Terserahlah kepada prinsip perjuangan masing-masing,” tegas beliau.

Terdahulu beliau mengimbas pada 3 Julai 2018, iaitu setahun dulu, Shukri selaku Ketua SPRM telah minta 408 pemegang akaun yang telah dibeku oleh SPRM untuk secara sukarela menyerahkan wang dalam akaun-akaun itu kpd SPRM.

“Ianya diikuti dgn ugutan tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak ikut arahannya.

“Ketika itu, saya sedang ditemubual oleh SPRM mengenai akaun saya yang telah menerima sumbangan dari Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib. Sumbangan itu adalah untuk tujuan politik di JB, termasuklah menyiapkan rumah-rumah pangsa Sri Anugerah yang telah tergendala pembinaannya.”

Terangnya, reaksi apabila ditanya oleh pemberita, ialah haruslah penyiasatan yang telah baru dimulakan itu diteruskan sahaja kerana proses undang-undang patut dilalui sepenuhnya.

“Ini menepati ‘Rule of Law’ yang menjadi antara tonggak utama negara kita.

“Apabila saya dipanggil pula oleh PDRM untuk ditemubual tentang perkara yang sama empat bulan kemudian, saya bertanya kepada pihak polis, apa jadi kepada wang RM51 juta yang dijumpai dalam rumah seorang penjawat awam Sabah.

“Mengapa, saya tanya, kita tidak dengar pun perkembangan kes itu. Ianya jatuh senyap begitu sahaja. Saya diberitahu, betul atau tak, yang wang itu telah dirampas oleh SPRM dan kes itu, agaknya, selesai.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.