Kerajaan PH Perlu Telus Kos Ambil Alih Empat Lebuh Raya

SEREMBAN, 26 Jun – Kementerian Kewangan perlu menjelaskan kos spesifik pengambilalihan empat tol konsesi daripada syarikat Gamuda yang menelan belanja RM6.2 bilion.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau tidak melihatnya sebagai langkah strategik kerana kebanyakan konsesi tol lebuh raya berkenaan hampir tamat.

Tegasnya, kerajaan perlu lebih telus menerangkan kepada rakyat setiap kos yang dibayar kepada syarikat dan memastikan manfaat terhadap pengambilalihan dinikmati pengguna terutamanya golongan B40.

“Daripada empat lebuh raya itu, Lebuhraya Kesas (Lebuhraya Shah Alam) akan tamat konsensi pada 18 Ogos 2023. Walhal saya difahamkan kadar tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) misalnya tidak akan dinaikkan walaupun konsesinya tamat pada 2030.

“Jadi, apa keperluan mengambil alih? Hanya sekadar untuk menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan manifesto.

“Apa yang ditunggu rakyat ialah penghapusan tol dan menggantikannya dengan caj kesesakan bukanlah seperti yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jalaluddin berkata, beliau juga bimbang pengambilalihan itu akan menjejaskan kewangan negara.

“Dalam pada hutang negara semakin defisit, saya tidak fikir ia satu langkah strategik seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” tambahnya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, dengan kos sara hidup semakin meningkat, kutipan tol itu sangat membebankan rakyat lebih-lebih pengguna yang tiada pilihan untuk menggunakan kenderaan ke ibu kota bagi mencari rezeki dan kerajaan perlu prihatin mengenai hal itu.

Guan Eng baru-baru ini mengumumkan kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih LDP, Kesas, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong SMART.

Menurut beliau, tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.