Isu Sekolah Vernakular: Tak Perlu Lapor Polis, Rujuk Perlembagaan


BANGI, 24 Jun – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Afif Farhi Othman menimbulkan persoalan kepada Pengerusi Dap Perak, Nga Kor Ming apakah Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu tidak tahu bahawa sekolah vernakular tidak termaktub di dalam perlembagaan negara.

Lontarnya juga, adakah Kor Ming sedar bahawa kerajaan boleh menukar dasarnya yang sedia ada demi memastikan perpaduan negara.

“Bagaimanakah pemimpin cauvinis Dap ini boleh meminta sayap Pemudanya untuk membuat laporan polis terhadap perkara yang masih di peringkat cadangan di dalam Muktamar PAS untuk ahlinya bebas menzahirkan pandangan?

“Cadangan Dewan Muslimat PAS untuk kerajaan mengkaji semula sekolah vernakular bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang dan merupakan satu usaha yang sepatutnya disambut baik oleh Kementerian Pendidikan bagi mengukuhkan integrasi dan perpaduan kaum.

“Jika tuntutan untuk mengiktiraf sekolah vernakular, sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan penambahan kuota kemasukan bukan bumiputera ke matrikulasi lantang diperjuangkan oleh pimpinan Dap demi menjaga kelompok minoriti. Kenapa pula dipertikaikan cadangan untuk tidak mengiktiraf kembali tuntutan-tuntutan ini oleh kelompok majoriti?” soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Afif berkata demikian ketika mengulas tindakan Kor Ming semalam yang telah mengeluarkan arahan kepada sayap Pemuda Dap untuk membuat laporan polis terhadap Dewan Muslimat PAS yang memberikan cadangan kepada Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik untuk menamatkan sistem pendidikan vernakular.

Cadangan tersebut dilontarkan oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md Nor ketika membahaskan ucapan dasar Presiden yang berpandangan sistem sekolah vernakular ini tidak wajar diteruskan kerana menjarakkan jurang persefahaman antara kaum dan tidak membina perpaduan.

Bidas Afif lagi, Kor Ming memberikan respon terhadap isu tersebut dengan menyatakan bahawa cadangan menghapuskan sekolah vernakular ini bertentangan dengan perlembagaan negara.

“Suka diingatkan kepada Nga Kor Ming bahawa sekolah vernakular tidak termaktub di dalam perlembagaan bahkan kerajaan tidak punyai kewajipan di dalam menyediakan apa-apa dana dari segi undang-undang seperti yang tertulis pada Perkara 12 (2) Perlembagaan yang hanya memberikan hak kepada sekolah aliran agama.

“Kita sedia maklum perjuangan pendidikan vernakular ini diperjuangkan Dap ada kaitan dengan kepentingan Dong Zong. Masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kaum Cina dan India bersedia untuk berada di dalam sistem pendidikan negara di bawah sekolah kebangsaan tetapi dimomokkan oleh Dong Zong kononnya mereka akan hilang hak pembelajaran bahasa Cina.

“Walhal, peredaran masa memperlihatkan penggunaan bahasa Inggeris lebih dominan dan dituturkan berbanding bahasa Cina,” jelasnya.

Justeru itu katanya, kerajaan juga harus bersedia mempertimbangkan semula sistem pendidikan vernakular ini kerana setelah puluhan tahun merdeka, masih ramai dalam kalangan kaum Cina dan India yang gagal menguasai bahasa kebangsaan yang sudah pasti mengundang kesan yang lebih teruk terhadap integrasi nasional.

Dalam pada itu tegasnya, Kor Ming perlu ditempelak kerana arahan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Teluk Intan itu kepada sayap Pemuda Dap dilihat menidakkan hak bersuara dan memberikan pandangan.

“Negara ini milik bersama dan atas nama penyatuan ummah kita menzahirkan sokongan terhadap apa juga cadangan-cadangan yang diajukan oleh PAS dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara agar sama-sama kita membina harapan baru yang lebih baik untuk Malaysia,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.