DMJ: Pencapaian Satu Tahun Johor Hanya Bersifat Kosmetik Dan Retorik Politik

1. Semalam, telah tersebar satu (1) booklet bertajuk Pencapaian Setahun Kerajaan Negari Johor dibawah Pentadbiran
Pakatan Harapan (PH).

2. Dewan Muda Johor (DMJ) menyambut baik usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor ini dalam membukukan segala usaha-usaha yang telah mereka lakukan. Namun begitu, setelah diteliti dengan lebih mendalam pengisian, DMJ mendapati dapatan-dapatan yang direkodkan dalam “Pencapaian Setahun” ini bersifat separuh masak, syok sendiri dan retorik semata-mata.

MB JOHOR DIHADKAN KEPADA DUA (2) PENGGAL

3. Antara reformasi yang ingin dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Johor adalah mengehadkan jawatan MB Johor hanya kepada dua (2) penggal (10 tahun). Namun begitu, hasrat dan niat ini hanya bersifat di atas kertas kerana tiada usaha serius oleh pihak Kerajaan PH Johor untuk meminda dan memasukan peruntukkan tersebut di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) dan juga Aturan Dewan Undangan Negeri. ISU AIR MASIH TIDAK SELESAI

4. Dalam isu air, Kerajaan PH Johor menyatakan bahawa isu gangguan air yang telah berlaku selama 60 tahun telah diselesaikan selepas PH mengambil alih pentadbiran. Fakta ini sedikit bercanggah dan tidak tepat. Pertama, adalah tidak adil untuk mengukur masalah dan isu air ini pada tahun 2019, dengan era 1960-an, 1970-an dan seterusnya.

5. Kedua, apabila di dalam “Pencapaian Setahun” ini secara jelas menyatakan 3 gugusan Lok Heng telah selesai isu air yang berlarutan selama 60 tahun, perkara ini juga tidak tepat dah bercanggah dengan fakta sebenar kerana gugusan Lok Heng hanya dibuka tanah rancangannya pada sekitar tahun 1980-an. Ketiga, baru-baru ini ada dilaporkan bahawa Felda Lok Heng mengalami isu masalah air dan air perlu dicatu dan melibatkan hampir 40 ribu pengguna di Felda Lok Heng tersebut. Laporan adalah seperti di laporkan oleh BeritaHarian

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/540096/40000- pengguna-hadapi-catuan-bekalan-air-berjadual/amp

Adakah berita ini menipu? Atau Kerajaan Negeri yang tidak bercakap benar? Hal ini tidak lagi mengambil kira kawasan-kawasan lain yang menerima gangguan bekalan air baru-baru ini seperti di Kluang, Simpang Renggam, Pasir Gudang dan tempat-tempat lain.

PELAN PERANCANGAN DAN PENJENAMAAN SEMULA DIANGGAP PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN?

6. Di dalam “Pencapaian Setahun” ini, Kerajaan PH Johor juga telah merekodkan Pelan Pembangunan Mapan 2019-2030 sebagai satu pencapaian Kerajaan sedangkan Pelan tersebut baru sahaja dilancarkan pada akhir 2018 dan masih belum ada apa-apa hasil dan pencapaian yang boleh dibanggakan. Begitu juga dengan “kajian” bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas ditambak Johor yang dihantar ke Kerajaan Pusat baru-baru ini, juga dianggap sebagai kejayaan negeri sedangkan cadangan-cadangan di dalam kajian tersebut adalah cadangan logik yang mampu difikirkan sendiri oleh pihak imigresen tanpa bantuan Kerajaan PH Johor.

7. Selain itu, penjenamaan semula Unit Swadaya Insan dan ditukar namanya kepada Unit Strategik Modal Insan Johor juga dianggap kejayaan oleh Kerajaan Johor dalam Pencapaian Setahun. Jika ‘teori’ penjenamaan semula atau ‘copy paste’ ini dianggap kejayaan, maka banyaklah kejayaan Pakatan Harapan hari ini dalam ‘copy paste’ usaha kerajaan terdahulu. Apa yang lebih penting, dibawah Unit Strategik Modal Insan ini adalah untuk merealisasikan janji YB Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan untuk membawa balik 400 ribu pekerja pekerja Singapura ke Johor dan unit ini perlu turut sama dalam memainkan peranan dalam mengujudkan 1juta peluang pekerjaan seperti di dalam Manifesto Pakatan Harapan. Tetapi pencapaian yang dinyatakan hanyalah sama seperti inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan tiada perubahan signifikan yang dapat dibanggakan.

FAKTA-FAKTA YANG TIADA JUSTIFIKASI AMPUH, KERAJAAN PH JOHOR PERLU KEMUKA BUKTI

8. Selain itu, banyak fakta-fakta di dalam Pencapaian Satu Tahun ini yang diragui dan boleh dipertikaikan. Antaranya, pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu 395 ribu rakyat Johor, 21,127 pengecualian bayaran lesen penjaja, 12,000 orang menerima insentif Kursus Perkahwinan Percuma, 14,000 penerima kad sihat dan pelbagai lagi. DMJ tidak menafikan inisiatif tersebut, tetapi fakta-fakta angkat tersebut perlulah diberikan justifikasi dan perlu dibentangkan dengan lengkap di dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang. Ini kerana, nombor dan angka boleh diubah dan direka mengikut kesesuaian dan citarasa tuan empunya badan, dan ia boleh bersifat menipu. Beban pembuktian diletakkan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi membuktikan kesahihan dan keabsahan fakta-fakta angka ini.

MANIFESTO PH JOHOR PRU-14 UNTUK BINA 100 RIBU UNIT RUMAH MAMPU MILIK DALAM TEMPOH 5 TAHUN DILIHAT MUSTAHIL

9. Apabila di dalam “Pencapaian Setahun” ini mencatatkan bahawa antara pencapaian Kerajaan PH Johor pada Oktober 2018 ialah membina 3714 unit rumah, maka rakyat Johor sendiri dapat menilai bahawa projek rumah yang telah siap tersebut adalah projek dan inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan terdahulu, dan bukan inisiatif Kerajaan PH Johor yang sekarang. Jika dikira sasaran rumah Rumah Mampu Biaya (RMB) yang akan siap menjelang 2023 yang ditetapkan oleh Kerajaan PH Johor di dalam “Pencapaian Setahun” ini, ia hanya kira-kira 20 ribu buah rumah sahaja yang akan dibina, sedangkan janji manifesto PH sebelum PRU-14 adalah untuk membina 100 ribu rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun ini. Melihatkan kepada keadaan semasa, dengan tiada perancangan yang teratur, dan masa juga telah lebih setahun berlalu, janji manifesto untuk mengujudkan 100 ribu unit RMB menjelang tahun 2023 dilihat sangat mustahil.

TIADA PENCAPAIAN EKONOMI

10. DMJ juga tertanya-tanya di dalam “Pencapaian Setahun” ini tidak diselitkan sebarang pencapaian ekonomi yang Johor telah capai setelah setahun Kerajaan PH memerintah negeri Johor. Apakah kadar KDNK terbaharu Johor? Apakah pelaburan FDI yang berjaya Kerajaan PH dapatkan untuk Johor setelah setahun? Perkara-perkara ini ditinggalkan sepi dan tidak diceritakan kepada rakyat dalam “Pencapaian Setahun” ini. 11. Adalah menjadi janggal dan pelik kerana jika kita rujuk kepada kerajaan Johor yang terdahulu, aspek ekonomi adalah perkara yang utama yang akan ditekan. Sebagai contoh, Kad Laporan Pencapaian 2013-2018 menyatakan bahawa Johor mendapat pelaburan tertinggi di Malaysia untuk lima (5) tahun berturut-turut, dan KDNK Johor melepasi KDNK Malaysia pada kadar 5.9 berbanding 5.1. Namun malangnya, perkara ini tidak ada sebarang maklumat di dalam “Pencapaian Setahun” Kerajaan PH Johor yang dibentangkan ini.

PENUTUP

12. “Pencapaian Setahun” ini jika dilihat ia seolah-olah satu penghinaan kepada maruah dan intelektual rakyat Johor yang boleh berfikir dan membezakan antara perancangan, pencapaian dan perkara-perkara yang Kerajaan PH Johor wajib lakukan atas kapasiti kerajaan yang memerintah tanpa perlu untuk ‘claim milleage’. Program-program seperti Inisiatif Kursus Kahwin yang dibentangkan hanya bertaraf NGO Persatuan dan tidak mengambarkan kemegahan sebuah kerajaan negeri.

13. Akhirnya, DMJ percaya bahawa “Pencapaian Setahun” ini adalah satu dokumen kosmetik dan retorik yang ingin menutup segala kelemahan dan kepincangan yang melanda Kerajaan Johor dalam tempoh satu tahun pemerintahan Pakatan Harapan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.