UMNO Mesti Menjadi Pembela Kepentingan Rakyat – Dr Shamsul
BALIK PULAU, 22 Jun – Pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat mesti ke depan dalam menjuarai isu yang melibatkan rakyat ketika ini, ujar Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, rakyat kini mengharapkan pembelaan dan disebabkan itulah UMNO mesti memainkan peranan tersebut di ketika rakyat berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Realitinya, situasi ekonomi negara tidak begitu baik dan rakyat terutama golongan bawahan menerima kesan secara langsung. Kenaikan kos sara hidup terutama harga barang membebankan rakyat.
“Lebih malang kerajaan Pakatan Harapan (PH) nampak jelas tidak berupaya mengemukakan formula terbaik membantu rakyat menghadapi situasi sukar ini. Apa yang kita inginkan ialah kebajikan rakyat mesti diberikan keutamaan oleh kerajaan PH.
“Malah pelbagai isu lain yang dihadapi oleh rakyat ketika ini mesti ditangani dengan bijaksana mereka. Jadi pimpinan UMNO di semua peringkat, mesti bersuara menjadi jurubicara rakyat dan bercakap perkara ini bagi pihak rakyat,” ujarnya dalam ucapan di Majlis Silaturahim Aidilfitri di sini, hari ini anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan UMNO Bahagian Balik Pulau.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, timbalannya Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Rahim, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rosesarwandi Saad@Yaacob, Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng dan Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk Nyanasegaran.
Tegas Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, dalam apa keadaan sekalipun untuk membolehkan UMNO terus kuat, tiada perkara lain yang mesti diutamakan selain memperkukuhkan perpaduan sesama pemimpin dan ahli parti di semua peringkat.
“Saya minta supaya ketepikan perkara-perkara yang tidak menguntungkan UMNO. Hanya melalui perpaduan dan kesepakatan kita sahaja UMNO akan terus menjadi kuat.
“Dan dengan kekuatan ini kita pasti mampu menghadapi apa juga cabaran di hadapan kita terutama berhadapan dengan Kerajaan PH yang dilihat gagal memtadbir negara dengan sempurna serta baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Shamsul turut mengucapkan tahniah kepada Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bahagian Balik Pulau yang berjaya mengadakan majlis tersebut dengan sambutan kehadiran yang ramai dari pelbagai bangsa dan etnik, menjadi petanda UMNO masih di hati rakyat Pulau Pinang khususnya di Balik Pulau. – Media UMNO