Isu Felda: Azmin Dibidas Sering Manipulasi Peratusan, Tinggalkan Angka Sebenar


KUALA LUMPUR, 22 Jun – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sering memanipulasi perangkaan.

Dalam lontaran di Facebook, Shahrir mengambil contoh mengenai perangkaan yang digunakan oleh Azmin untuk didakwakannya sebagai kedurjanaan korporat yang telah berlaku dalam Felda.

“Azmin gunakan peratusan dan tidak angka-angka absolute (sebenar). Dia kata hutang Felda telah meningkat sebanyak 1,000% sedangkan aset Felda hanya bertambah dalam lingkungan 100%!

“Bila dipersembahkan begitu, macam teruk betul pengurusan Felda. Tapi dilihat dari segi angka atau jumlah yang ‘absolute’, sebenar apa yang berlaku ialah hutang Felda bertambah sebanyak RM12 bilion dan asetnya juga bertambah sebanyak RM12 bilion.

“Apatah lagi, aset Felda masih berganda tinggi dari hutangnya,” tegasnya yang turut melampirkan rajah perbandingan antara hutang dan aset Felda dalam tempoh sepuluh tahun (2007 – 2017).

Jelas Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru lagi, aset Felda sebahagian besarnya adalah hutang peneroka dan bermakna pinjaman yang diambil oleh Felda adalah untuk membiayai hutang-hutang peneroka kira-kira RM5.5 billion.

“Semenjak hujung tahun 90-an, bila Felda mempunyai wang tunai yang banyak, kerajaan tidak memberi peruntukan kepada Felda.

“Felda diminta gunakan duitnya sendiri untuk segala perbelanjaannya termasuk pembayaran emolumen kakitangan, pinjaman kepada peneroka dan juga perbelanjaan pembangunan. Sebab itu, hutang Felda meningkat,” katanya.

Namun ujarnya, ketika Felda di bawahnya, sumbangan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditambah termasuklah perbelanjaan tanam semula yang ditanggung peneroka dikurangkan dengan pemberian geran tanam semula.

“Inipun dah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jadi tanggungan peneroka akan bertambah juga.

“Hanya kali ini, saya nak beri contoh macam mana untuk capai matlamat politik mereka, Azmin memilih gunakan peratusan dan tidak angka sebenar.

“Jadi siapa yang patut ketepikan politik untuk fokus kepada isu ekonomi? Bagi peneroka, yang penting ialah harga sawit! Inilah patut jadi fokus kerajaan PH. Kalau satu sudu setiap hari, Teresa Kok tak akan naikkan harga sawit!,” tegasnya. – Media UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit