Adakah Tragedi Di Sungai Kim-Kim Akan Berulang Kembali? – Hairi

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata sewajarnya Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bertanggungjawab dan mempercepatkan siasatan yang berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang.

Kata Hairi, sepatutnya Sahruddin mempercepatkan siasatan berkenaan dengan mencari punca dan bukannya mengatakan kepada rakyat jangan khuatir dan risau dengan apa yang berlaku di sekolah tersebut.

Dilaporkan, dalam kejadian yang berlaku Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang ini dilaporkan seramai 29 mangsa yang terdiri daripada 16 pelajar dan 13 mangsa lagi adalah pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang. Manakala dua orang dewasa telah mendapatkan rawatan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Menteri Besar memaklumkan bahawa punca insiden masih belum dapat dipastikan sama ada ia berkaitan keracunan gas atau keracunan makanan. Makluman yang diberikan agar rakyat tidak panik menjadikan rakyat semakin gusar dan bimbang kerana rakyat tidak mengetahui punca disebalik kejadian ini,” katanya kepada UMNO-Online disini.

Katanya, kelewatan penyelesaian terhadap perkara ini akan menyebabkan rakyat Pasir Gudang tidak selesa dan bimbang untuk bekerja, menghantar anak-anak ke sekolah sekaligus akan menyebabkan situasi harian terganggu.

Justeru sewajarnya Sahruddin harus mengambil iktibar apa yang pernah berlaku semasa era Menteri Besar terdahulu dan sepatutnya beliau mempercepatkan segala tindakan sebelum bertambah teruk.

“Saya percaya di bawah pertadbiran terdahulu telah membuatkan Menteri Besar yang baru mengambil pengajaran yang berguna dan ia akan dapat mengatasinya secepatnya.

“Sekiranya ia berlaku di sebabkan Sumgai Kim Kim seperti sebelum ini, saya mengharapkan Kerajaan Negeri mengerahkan agensi atau jabatan kerajaan terlibat untuk mencari solusi terhadap isu ini.”

Untuk rekod tragedi Sungai Kim Kim berpunca dari pencemaran yang berlaku hingga mengakibatkan tragedi bahan kimia beracun yang mengakibatkan hampir 2,000 orang mendapat rawatan di hospital. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.