Penyertaan Bukan Islam Dalam Kajian Tinjauan Dalam Talian Tidak Wajar

PAGOH, 19 Jun – Langkah Kementerian Pendidikan menawarkan penyertaan kumpulan dan institusi bukan Islam dalam Kajian Tinjauan Dalam Talian oleh Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKI) di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) disifatkan sebagai gagal memahami sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mempersoalkan apakah sudah tidak ada kumpulan dan institusi Islam yang mampu memberi pandangan berkaitan pendidikan Islam di sekolah.

“Adakah golongan bukan Islam tetsebut memahami asas dan matlamat pendidikan Islam di sekolah sehingga pandangan mereka diperlukan menentukan hala tuju pendidikan Islam di sekolah.

“Langkah yang diambil kementerian ini bukan sahaja tidak bijak, malah boleh dilihat sebagai tindakan memperlekehkan institusi serta kumpulan Islam itu sendiri,” katanya.

Katanya, usaha tersebut seolah-olah ingin menjadikan pendidikan Islam di sekolah lebih liberal mengikut acuan semua agama dan kaum.

Dalam pada itu beliau turut megecam tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang memadam status Facebook setelah dikecam hebat warganet sebagai tidak wajar.

Katanya, Jika tiada sebarang agenda jahat yang tersembunyi, Nie Ching sepatutnya memberi penjelasan, bukan memadam status Facebooknya.

“Kami memandang serius isu ini dan menggesa pihak kementerian memberikan penjelasan mengapa tinjauan ini dibuka kepada kumpulan bukan Islam.

“Kami juga mendesak agar pihak kementerian menarik balik keputusan tersebut yang lebih merupakan satu langkah sumbang,” katanya. – Utusan Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.