Jabatan Peguam Negara Milik Negara, Bukan Milik Firma Tommy Thomas – Hairi
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Pemuda UMNO Negeri Johor menyokong penuh desakan agar Peguam Negara, Tommy Thomas berundur dari jawatannya.
Beliau berkata, sewajarnya Tommy mengendalikan Jabatan Peguam Negara dengan penuh bijaksana dan jangan diskriminasi serta memilih bulu terhadap kes-kes tertentu.
“Pegum Negara perlulah seorang jujur, telus dan tidak bersikap berat sebelah serta tidak ada kepentingan peribadi atau sesuatu kelompok kumpulan.
“Negara tidak memerlukan seorang peguam yang berselindung serta membelakangkan undang-undang negara.
“Tommy Thomas janganlah kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri kerana ianya milik negara. Jabatan perundangan itu ada peraturan dan undang-undangnya. Janganlah buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu seperti yang berlaku pada hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Tambahnya semenjak jawatan peguam Negara dijawat oleh Tommy Thomas, berbagai kes yang dikendalikan serta peraturan perundangan negara tidak diikutinya malah dengan sengaja mengingkarinya.
Sebagai contoh, banyak kes-kes berprofil tinggi yang dibebaskannya seperti kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, isu rasuah Menteri Kewangan walaupun prosiding mahkamah telah berjalan dan saksi-saksi juga telah memberi keterangan, namun Peguam Negara tetap membelakanginya, tegasnya.
Tambahnya lagi, bukan itu sahaja, malah kes prosiding inkues kematian Allahyarham Adib dengan mengatakan kematiannya tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesai, termasuk juga pendedahan bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansur yang mengatakan terdapat campur tangan dari Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian tersebut.
“Peguam Negara gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja Melayu.
“Tindakan Tommy Thomas membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) malahan kes tersebut digugurkan,” ujarnya.
Justeru itu katanya, perkara-perkara yang dibuat oleh Tommy Thomas kini mengakibatkan rakyat sudah tawar hati dan hilang yakin terhadap kewibawaan yang dibawa oleh beliau.
“Ini jelas Peguam Negara membelakangi Perundangan Negara dan menggunakan prinsip ‘rule of jungle’ dan jabatan perundangan ini bukan miliknya, ia adalah milik negara. tegasnya. – MediaUMNO