Menteri Kewangan Lemah, Perlu Letak Jawatan – Dr Shamsul


KUALA LUMPUR, 16 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Menteri Kewangan setakat ini ternyata gagal merangka formula bagi menjana pendapatan negara selain hanya menambahkan pinjaman bagi mengurus dan mentadbir negara ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kekurangan pelaburan sangat ketara dan projek yang dilakukan hanyalah dengan melaksanakan projek di zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja.

Menurut beliau Bursa Malaysia mengalami penyusutan dan ketika mengakhiri dagangan terkini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah pada 1,638.63 ketika ini dan ia jauh berbeza iaitu 1,895.18 mata sebelum 9 Mei 2018 iaitu ketika dibawah Kerajaan BN.

“Malah pada Khamis 14 Jun 2019 , Ringgit Malaysia berada di paras 4.1650 berbanding 1USD sedangkan sewaktu BN memyerahkan kuasa pada Kerajaan PH, Ringgit Malaysia adalah pada paras sekitar RM3.8 berbanding 1 USD. Semua ini adalah dalil kelemahan Kerajaan PH dan Menteri Kewangan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi hutang negara pula, kini sudah mencecah RM793.4 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah Kerajaan BN. Angka ini hampir kepada RM800 bilion, dan jika Menteri Kewangan terus meminjam pasti akan membebankan negara ini.

Situasi ini tambahnya lagi boleh menyebabkan hutang negara menjadi RM 1 Trillion, ini sangat membimbangkan. dan keadaan tersebut belum dicampur RM82 bilion yang diambil daripada Petronas.

“Bayangkan baru sahaja mengambil alih negara ini, Kerajaan PH telah meminjam sebanyak RM70.3 bilion (RM63 bilion sukuk kerajaan serta RM7.3 bilion Bon Samurai) dan bayar balik RM17.7 bilion.

“Lebih mengecewakan, walaupun pinjaman bertambah, kebajikan rakyat terutama golongan bawahan tetap tidak terbela sebagaimana sepatutnya,” ujarnya.

Ujar beliau keadaan ini juga mengambarkan Majlis Ekonomi Negara yang diwujudkan oleh Perdana Menteri dengan dibarisi oleh pelbagai tokoh ekonomi ternyata gagal mencari formula terbaik kepada ekonomi negara.

Justeru, tegasnya kerajaan PH janganlah secara berterusan menyalahkan Kerajaan BN terdahulu dan akuilah kegagalan sendiri.

“Situasi perdagangan Amerika dengan China, memang mempengaruhi keadaan. Namun situasi ini juga berlaku sewaktu BN memerintah.

“Realitinya, polisi Kerajaan PH yang masih tidak jelas dan berubah-ubah juga menambahkan ketidakyakinan pelbagai pihak kepada Malaysia terutama oleh pelabur. Situasi ini juga mempengaruhi ekonomi negara,” tambahnya.

Tambahnya lagi apapun rakyat bijak menilai dan yang membimbangkan ialah kesannya kepada rakyat serta kos sara hidup semakin tinggi, peluang pekerjaan semakin kurang dan penganguran meningkat, maka penyelesaian segera mesti dilakukan oleh Kerajaan PH.-MediaUMNO