Isu NFC: Tindakan Untuk Teruskan Saman Sivil Dianggap Pelik


KUALA LUMPUR, 9 Jun – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak memberi kelulusan kepada pembeli baharu untuk mengambil alih projek Syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), sebaliknya mahu meneruskan saman sivil bagi menuntut syarikat itu membayar balik seluruh pinjaman berjumlah RM250 juta, dianggap pelik.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbuatan itu boleh dianggap demikian sekiranya niat dan keutamaan adalah untuk mendapatkan balik dana tersebut dan menjayakan projek berkenaan.

Beliau malah berkata, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dikenali sebagai individu rapat dengan Perdana Menteri ketujuh juga berasa demikian dan telah mengeluarkan kenyataan mempersoal Menteri Kewangan itu pada minggu lalu.

“Akhirnya, syarikat NFC berjaya mencari pembeli baharu dan telah menulis kepada kerajaan meminta kelulusan bagi pihak baharu ini untuk mengambil alih projek. Pembeli baharu ini dikatakan mempunyai kekuatan kewangan serta pelan menyeluruh untuk meneruskan dan menjayakan projek NFC.

“Tetapi, `Menteri Kewayangan’ Pakatan Harapan (PH) tidak mahu memberi kelulusan. Sebaliknya, mereka mengambil tindakan untuk meneruskan saman sivil menuntut syarikat NFC untuk membayar balik seluruh pinjaman itu. Tindakan ini boleh dianggap pelik jika niat dan keutamaan ialah untuk mendapat balik dana tersebut dan menjayakan projek,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Jelas Najib, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah pertimbangkan beberapa kali mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam bagi mendapat balik seluruh dana RM250 juta itu namun tindakan itu tidak diambil.

Ini kerana, kata Najib, syarikat NFC memberitahu mereka sedang berunding dengan beberapa syarikat besar di dalam dan luar negara untuk mengambil alih projek berkenaan malah pembeli itu juga bersetuju menganggung bayaran pinjaman termasuk seluruh kos faedah.

Dalam pada itu, Najib mendakwa, Dap mengetahui nilai propaganda NFC jauh lebih tinggi untuk mereka berbanding dana RM250 juta atau kejayaan projek tersebut.

Katanya, hampir sembilan tahun Dap telah menyebarkan propaganda menipu bahawa RM250 juta telah disonglap oleh Najib dan digunakan untuk membeli kondo untuk menyimpan lembu.

“Oleh itu, ia amat sukar bagi Dap mengaku kepada penyokong mereka sekarang dana ini bukan disonglap tetapi ia sesuatu pinjaman yang mana peminjam sudah pun mahu membayar balik keseluruhannya termasuk kos faedah.

“Memandangkan itu, `Menteri Kewayangan’ terpaksa mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat NFC serta menolak pembayaran balik pinjaman serta rancangan meneruskan projek NFC untuk meningkatkan bekalan daging lembu tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.