Perlantikan Latheefa Koya Bukti PH Gagal Kotakan Janji Lagi – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau langsung tidak terkejut dengan pengumuman Latheefa Koya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tindakan Pakatan Harapan (PH) melanggar janji merupakan perkara biasa dan tidak perlu dihairankan.

Menurut beliau ini bukan pertama kali mereka (PH) mungkir janji malah berkali-kali dan mereka tidak pernah berniat pun untuk tunaikan janji pilihanraya mereka dan menafikan hak rakyat yang mengundi memberikan sokongan sehingga mereka perolehi kemenangan untuk melihat kononnya satu pembaharuan kepada kerajaan yang ada.

“Janji 16 dalam Buku Harapan jelas berkaitan jawatan-jawatan penting untuk tidak melantik dari kalangan “Orang Politik” tidak ditepati oleh Pucuk Pimpinan DAP-PH. Rakyat sekali lagi ditipu oleh Kepimpinan Kerajaan DAP-PH untuk tujuan politik mereka.

“Sejak menang berbagai-bagai janji tidak ditunaikan seperti penghapusan tol, menurunkan harga barang, menurunkan harga minyak, penghapusan hutang peneroka, menangguhkan pembayaran PTPTN sehingga gaji mencecah RM4000, gaji minimum RM1500 dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan di facebook beliau.

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya menambah terbaru adalah perlantikan Puan Latheefa Koya yang juga bertentangan dengan janji seperti “orang politik tidak boleh memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan”.

“Inikan pula jawatan badan bebas yang semestinya tidak boleh diketuai oleh orang politik partisan seperti Puan Latheefa Koya yang merupakan bekas pemimpin tertinggi PKR yang baru keluar parti PKR.

“Janji untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah Suruhanjaya Bebas hanyalah janji manis seperti juga janji-janji lain,” tambahnya.

Tambahnya lagi apabila parlimen menubuhkan “Select Committee” mengenai perlantikan jawatan penting kerajaan termasuk badan bebas seperti SPRM, SPR dan lain-lain, ialah bertujuan supaya Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa sepenuhnya dalam perlantikan jawatan-jawatan penting dan badan-badan atau suruhanjaya yang perlu bebas dari cengkaman politik kepartian.

Namun Select Committee tersebut ujar beliau hanyalah seperti “Rubber Stamp” yang tidak punyai apa-apa makna dan kuasa kecuali sebagai kosmetik untuk menampakkan cantik luaran.

“Di dalam isu Puan Latheefa Koya ini jelas bahawa perlantikan ini tidak dirujuk kepada Select Committee untuk pandangan dan tapisan. Kita tidak mempersoalkan kewibawaan Puan Latheefa Koya sebagai peguam atau kemampuan di dalam mengendalikan kes.

“Namun kita mempersoalkan kemampuan beliau berlaku adil kepada pihak pembangkang dan lain-lain kerana beliau adalah “Orang Politik” yang menyokong PH dan sudah tentunya mempunyai agenda politik dalam setiap keputusan beliau.

“Jika dulu PH mempersoalkan perlantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara kerana pernah bertanding di dalam PRU pada tahun 1990 dan selepas itu terus bersara, inikan pula baru semalam keluar dari parti PKR. Di mana suara pemimpin PH yang selama ini melaungkan perlunya SPRM sebagai badan bebas tanpa campur tangan politik? Ini jelas “Orang Politik” menjadi orang “No 1 SPRM” yang tidak pernah dilakukan atau berlaku zaman Kerajaan BN sebelum ini,” katanya.

Kata beliau lagi sebenarnya ramai pegawai di dalam SPRM yang berwibawa, berpengalaman dan mampu menggalas tugas untuk memimpin SPRM.

“Soalnya kenapa perlu diambil dari luar?. Saya amat berharap YAB Perdana Menteri boleh mengkaji semula perlantikan ini agar SPRM tidak dilihat sebagai badan yang akan berpihak kepada kerajaan untuk berdepan musuh politik pihak kerajaan sahaja.

“Saya mencadangkan agar beberapa nama perlu dihantar untuk diteliti dan disemak oleh Select Committee Parlimen sebelum dicadangkan kepada YAB Perdana Menteri untuk membuat keputusan. Jika tidak ianya pasti akan menggagalkan reformasi parlimen yang sedang dilaksanakan,” tegasnya.

Justeru tegas bwliau lagi pembangkang mengharapkan pihak kerajaan mengkaji semula perlantikan ini agar SPRM bukan sekadar badan yang perlu dilihat bebas tetapi seharusnya SPRM itu bebas dari cengkaman politik kepartian.

“SPRM harus menjadi satu badan yang berintegriti kerana ia bukan soal politik tetapi ia berkisar soal kekhuatiran rakyat terhadap satu suruhanjaya atau badan penguatkuasaan undang-undang yang tidak harus wujud “Pendakwaan Terpilih” untuk tujuan dan kepentingan politik kepartian. Ianya harus berada dibawah ketelusan dan adil tanpa ada cengkaman dan tekanan dari mana-mana pihak dalam setiap kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” ujarnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.