PH Gagal, Tidak Tahu Kawal Harga Barang Asas… Rakyat Terhimpit Di Hari Raya

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Exco Pergerakan Wanita UMNO, Azizah Harun berkata semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil tampuk pemerintahan negara tekanan yang dihadapi oleh rakyat semakin tinggi dan terhimpit terutama sekali kos sara hidup.

Beliau berkata, ini jauh berbeza semasa zaman Barisan Nasional (BN) dahulu yang selalu memantau harga-harga barang walaupun ada segelintir peniaga menaikkan harga barang-barang terutama di musim perayaan.

“Sekarang bukan saja pembeli tapi pihak peniaga juga merungut kerana kos bahan mentah semakin tinggi yang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barang, ini memberi kesan kepada kurangnya pembelian dari pengguna.

“Semasa kerajaan BN semua harga barang kawalan dipantau dan dipastikan terutama menjelang hari perayaan namun kini kerajaan PH gagal melaksanakan perkara sama untuk menjaga kepentingan pengguna,” katanya kepada UMNO-Online.

Azizah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Selangor menjelaskan kenaikan harga barangan keperluan asas kini semakin tinggi disebabkan barangkali ada peniaga-peniaga yang menyorok bekalan untuk dijual pada saat-saat terakhir sebelum sambutan Aidilfitri.

Tambahnya lagi, ini tidak mustahil peniaga-peniaga akan mengambil kesempatan dan menaikkan lagi harga barang-barang jika tiada tindakan dan kawalan dari pihak berkuasa.

Justeru katanya, kerajaan PH harus mengambil tindakan tegas terhadap peniaga seperti memperkenalkan harga kawalan yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN pada setiap kali musim perayaan.

“Keadaan ini amat mengecewakan kerana saya terus menerima rungutan demi rungutan dari rakyat khususnya di Selangor tentang kenaikan harga barang yang menekan kehidupan rakyat.

“kerajaan PH seharusnya dapat laksanakan janji-janji dalam manifestonya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu dan memastikan harga barang tidak terus naik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.